KUALA LUMPUR: Malaysia menerima surat daripada Indonesia pada 13 Nov lepas berhubung hasrat negara itu supaya beberapa acara tambahan dipertandingkan pada Sukan SEA 2027 yang akan berlangsung di Malaysia.
Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, surat bertarikh 6 Nov itu bukan bertujuan memboikot temasya berkenaan sebaliknya menyuarakan hasrat Indonesia agar beberapa acara sukan dipertimbangkan untuk dimasukkan dalam senarai pertandingan.
Beliau berkata, Malaysia menghormati pandangan Indonesia dan akan memberikan maklum balas secara rasmi terhadap surat berkenaan namun menegaskan bahawa pemilihan sukan bagi temasya itu telah melalui proses panjang yang dipersetujui oleh semua negara anggota Persekutuan Sukan SEA (SEAGF).
"Saya baru sahaja menerima surat tersebut pada 13 Nov 2026... surat bertarikh 6 Nov itu berkaitan hasrat Indonesia untuk mengadakan beberapa acara tambahan... kita menghormati pandangan Indonesia tetapi perlu diingat bahawa setiap proses pemilihan sukan telah melalui proses yang panjang," katanya selepas menyaksikan siaran langsung Episod Kemuncak Program Realiti Jaguh Rakan Muda, di sini, malam tadi.
Mengulas lanjut, beliau berkata, sebanyak 38 sukan pada asalnya diluluskan sejak 2025 sebelum SEAGAF membuka ruang kepada negara anggota mengemukakan rayuan penambahan sukan hingga 8 Mei lepas susulan mesyuarat pertama badan itu pada April lepas.
"Pada Julai lepas semasa mesyuarat kedua SEAGF, kita telahpun menetapkan beberapa sukan tambahan daripada 38 kepada 43 sukan, dan paling penting ialah Sukan Olimpik itu kekal sebagai teras.
"Kalau kita lihat Piagam SEAGF, sekurang-kurangnya 10 sukan wajib Olimpik berada dalam senarai sukan yang dipertandingkan," katanya.
Mohammed Taufiq berkata, pemilihan sukan dan acara temasya berkenaan bukan keputusan sepihak Malaysia selaku tuan rumah sebaliknya dibuat menerusi persetujuan Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan (NOC) semua negara anggota termasuk melalui undian majoriti mudah jika terdapat bantahan.
"Penetapan sukan ini telah dibahas, dibentang, diundi dan dipilih secara rasmi mengikut tatacara yang betul serta melibatkan semua NOC dan 11 negara.
“Saya menolak keras sebarang dakwaan bahawa pemilihan acara sukan ini dibuat secara sepihak oleh Malaysia atau tuan rumah kerana perkara itu sama sekali tidak benar," katanya.
Beliau berkata, pemilihan acara turut mengambil kira kekangan venue dan kos penganjuran selain tertakluk kepada Peraturan 34.1.5 dan 36.6 SEAGF, justeru keutamaan kini adalah memastikan Sukan SEA 2027 yang bertemakan “Celebrating Unity" menjadi platform memperkukuh perpaduan negara ASEAN tanpa sebarang polemik.
-- BERNAMA