PAPAR: Tujuh Ahli Parlimen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan mengemukakan memorandum kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) minggu depan bagi memohon skop siasatan projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah diperluas, termasuk meneliti asas dan implikasi keputusan penamatan model Rakan Pelaksana Projek (Project Delivery Partner-PDP) pada 2019.
Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, langkah itu penting bagi memastikan siasatan PAC bukan sahaja menumpukan status dan prestasi semasa projek berkenaan, malah turut meneliti keputusan dasar terdahulu yang didakwa memberikan kesan terhadap jadual pelaksanaan, pelantikan kontraktor serta peningkatan kos pembinaan.
Beliau yang juga Setiausaha Agung GRS berkata, pihaknya mengalu-alukan keputusan PAC pada 19 Okt lepas untuk menyiasat pengurusan, tadbir urus kewangan dan pelaksanaan fizikal projek berkenaan susulan pembentangan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Siri 2/2026.
Bagaimanapun, beliau berkata, skop siasatan itu perlu merangkumi empat faktor utama berkaitan penamatan model PDP pada 22 Sept 2019 bagi mengenal pasti punca sebenar kelewatan projek berkenaan secara menyeluruh.
“Jadi itu saranan kita kepada PAC supaya skop siasatan diperluas, merangkumi asas dan juga implikasi penamatan model PDP tersebut,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis penutupan Program IP SPARK 2026, di sini, pada Ahad.
Mengulas lanjut, Armizan berkata, faktor pertama ialah ketidakjelasan mengenai implikasi penamatan PDP dalam LKAN Siri 2/2026, sedangkan jawapan rasmi Kementerian Kerja Raya di Dewan Rakyat pada 2 Ogos 2022 dan 19 Okt 2026 menyatakan penamatan model itu sebagai antara punca kelewatan projek.
“Jadi ini bukan cerita politik, bukan isu politik yang orang tentukan tetapi ini adalah jawapan rasmi di Dewan Rakyat,” katanya yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.
Faktor kedua pula ialah keperluan mendapatkan penjelasan mengenai asas keputusan Kerajaan Persekutuan menamatkan model PDP pada 2019 atas syor pentadbiran Kerajaan Negeri Sabah ketika itu, termasuk sama ada kajian menyeluruh telah dilaksanakan sebelum keputusan dibuat.
Bagi faktor ketiga, beliau berkata, ketidaktentuan status PDP dan pelantikan kontraktor selepas pertukaran kerajaan pada Mei 2018 didakwa menyebabkan kerja pembinaan di lapangan terbantut selama lebih setahun sebelum kontraktor sedia ada dilantik semula menerusi kaedah pelaksanaan konvensional pada 2019.
Gangguan itu juga didakwa menyumbang kepada peningkatan kos projek, khususnya apabila kontraktor berdepan kenaikan harga bahan binaan akibat inflasi, selain kesan pandemik COVID-19.
Beliau berkata, faktor keempat melibatkan proses pelantikan semula kontraktor sedia ada dan pelantikan kontraktor baharu yang terganggu susulan peralihan daripada model PDP kepada kaedah konvensional, sehingga terdapat pakej bagi fasa 1A yang hanya melalui proses pelantikan pada 2021.
“Jadi kita harap bukan hanya agensi kerajaan tetapi prosiding ini juga perlu dipanggil kontraktor-kontraktor ini untuk mendengar tekanan dan juga isu-isu berbangkit yang mereka hadapi,” katanya.
Beliau menegaskan, memorandum GRS itu bukan bertujuan mencari kesalahan mana-mana pihak, sebaliknya memastikan keputusan dasar berkaitan projek infrastruktur rakyat tidak dipengaruhi pertimbangan politik kepartian sehingga menjejaskan kelancaran pelaksanaannya.
-- BERNAMA