KUALA LUMPUR: Malaysia sedang memuktamadkan Perjanjian Negara Tuan Rumah bagi merealisasikan penubuhan pejabat Bank Pembangunan Asia (ADB), di Malaysia.
Menerusi hantaran di Facebook, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kemajuan usaha itu disambut baik dan menjadi antara perkara yang dibincangkan dalam pertemuan beliau bersama dengan Presiden ADB Masato Kanda, selepas selesai hari pertama Sidang Kemuncak ASEAN ke-49 pada Ahad, di Manila.
Pertemuan itu turut menyentuh perkembangan ekonomi serantau serta peluang memperluas kerjasama pembangunan dan pelaburan.
“Saya menyambut baik kemajuan usaha penubuhan pejabat ADB di Malaysia, termasuk proses memuktamadkan Host Country Agreement.
“Kehadiran ADB dijangka membuka lebih banyak peluang dalam pembangunan infrastruktur peralihan tenaga dan pembiayaan sektor swasta,” kata Perdana Menteri.
Anwar berkata beliau turut menggalakkan institusi kewangan pembangunan itu untuk meneroka peluang baharu menyusuli pembiayaan dalam sektor kitar semula serta komitmen pelaburan bagi pembangunan pusat data.
“Malaysia menghargai peranan ADB sebagai rakan pembangunan penting dan berharap hubungan ini terus diperkukuh bagi menyokong pertumbuhan ekonomi yang mampan serta membawa manfaat nyata kepada rakyat,” kata beliau.
-- BERNAMA