Ringkasan AI
- Presiden China Xi Jinping akan menerbitkan artikel mengenai pembinaan komuniti Asia Pasifik dengan masa depan dikongsi bersama dalam jurnal Qiushi.
- Artikel menekankan pentingnya Asia Pasifik sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi global dan menyeru kerjasama, keterbukaan serta integrasi ekonomi serantau.
- China komited menyumbang kepada pembangunan rantau ini, memajukan kerjasama praktikal dalam perdagangan bebas, kesalinghubungan, ekonomi digital dan kecerdasan buatan.
BEIJING: Presiden China Xi Jinping akan menerbitkan artikel mengenai usaha membina bersama komuniti Asia Pasifik dengan masa depan yang dikongsi bersama pada Isnin, lapor Xinhua.
Artikel itu merupakan kompilasi petikan daripada kenyataan penting Xi mengenai perkara berkenaan yang disampaikan antara Oktober 2013 hingga November 2025.
Artikel oleh Xi, yang juga Setiausaha Agung Jawatankuasa Pusat CPC dan Pengerusi Suruhanjaya Ketenteraan Pusat, akan diterbitkan dalam keluaran ke-22 tahun ini bagi jurnal Qiushi, majalah utama Jawatankuasa Pusat CPC.
Artikel itu menekankan bahawa Asia Pasifik kini merupakan rantau ekonomi yang mempunyai dinamisme pertumbuhan dan potensi pembangunan terbesar di dunia serta diiktiraf secara meluas sebagai pemacu penting pertumbuhan ekonomi global.
Artikel berkenaan menyeru supaya momentum pembangunan kukuh rantau itu dikekalkan, masa depan kemakmuran bersama direalisasikan dan komuniti Asia Pasifik dengan masa depan yang dikongsi bersama dibina berasaskan keterbukaan dan keterangkuman, pertumbuhan dipacu inovasi, kesalinghubungan yang lebih luas serta kerjasama saling menguntungkan.
Artikel itu turut menegaskan bahawa Asia Pasifik perlu terus menjadi pemacu utama globalisasi ekonomi.
Usaha perlu dilakukan bagi memberikan sumbangan besar kepada dunia menerusi kerjasama Asia Pasifik yang lebih dinamik dan berdaya tahan, menurut artikel itu.
Artikel berkenaan menyeru rantau itu menerajui usaha memelihara keamanan dan kestabilan serta menyelesaikan perbezaan dan pertikaian melalui dialog dan rundingan.
Artikel itu turut menekankan keperluan memainkan peranan utama dalam meningkatkan keterbukaan dan kesalinghubungan, mempertahankan dengan tegas sistem perdagangan pelbagai hala berasaskan peraturan yang berteraskan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), serta memajukan integrasi ekonomi serantau dan pembentukan Kawasan Perdagangan Bebas Asia Pasifik.
Artikel itu juga menggesa usaha menerajui kerjasama saling menguntungkan dengan memupuk corak kerjasama yang membolehkan negara-negara saling menyokong kejayaan masing-masing dan mencapai pembangunan bersama.
Selain itu, artikel berkenaan menekankan kepentingan menerajui usaha memastikan manfaat pembangunan dinikmati semua pihak secara inklusif, termasuk merapatkan jurang pembangunan, meningkatkan kesejahteraan rakyat secara berterusan dan memajukan kemakmuran bersama bagi seluruh penduduk Asia Pasifik.
Artikel itu menegaskan bahawa sejauh mana pun pembangunan China pada masa depan, negara itu akan terus berakar umbi di Asia Pasifik, menyumbang kepada pembangunan rantau berkenaan dan membawa manfaat kepadanya.
China akan terus komited terhadap laluan pembangunan secara aman dan melaksanakan strategi keterbukaan yang memberikan manfaat kepada semua pihak.
Dalam meneruskan pembangunannya sendiri, China akan secara aktif menggalakkan pembangunan bersama negara-negara Asia Pasifik dan mewujudkan lebih banyak peluang kepada penduduk rantau itu, menurut artikel berkenaan.
Artikel itu menyatakan kesediaan China untuk bekerjasama dengan semua pihak bagi membina bersama komuniti Asia Pasifik, menggalakkan pertumbuhan dan kemakmuran serantau serta memajukan kerjasama praktikal dalam bidang termasuk Kawasan Perdagangan Bebas Asia Pasifik, kesalinghubungan, ekonomi digital dan kecerdasan buatan (AI).
-- BERNAMA-XINHUA