Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Selangor, Ikmalrudin Ishak dilantik sebagai Setiausaha SPR yang baharu, berkuatkuasa 5 Jun lalu.

Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Mohd Zuki Ali, dalam satu kenyataan pada Selasa berkata, Ikmalrudin menggantikan Datuk Mohamed Elias Abu Bakar yang bersara wajib pada 30 Mei.

Katanya, Ikmalrudin, 49, berpengalaman luas dalam bidang pengurusan, perolehan, pengurusan Parlimen dan urusan pilihan raya.

"Semoga dengan pelantikan ini, beliau dapat memimpin Urusetia SPR dalam merancang, penyelaras dan melaksanakan dasar-dasar yang ditetapkan SPR dengan cekap dan berkesan," katanya.

Ikmalrudin, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sosiologi/Antropologi daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, telah berkhidmat dalam perkhidmatan awam selama 24 tahun dengan jawatan pertamanya sebagai Penolong Pengarah (Jabatan Agama Islam) di Jabatan Perdana Menteri pada 1 Mac 1996.

Selain itu, beliau pernah menjawat jawatan sebagai Setiausaha Bahagian (Pengurusan Dewan Parlimen), Timbalan Setiausaha (Pengurusan Suruhanjaya Pilihan Raya) dan Pengarah SPR Selangor.

Mohd Zuki dalam pada itu merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Mohamed Elias atas jasa dan khidmat bakti kepada negara sebagai penjawat awam selama 37 tahun.