LANGKAWI: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kedah menahan seramai 104 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) selepas mengempur sebuah tapak pembinaan di Pantai Tengah, di sini, pada Rabu.
Pengarah JIM Kedah, Mohd Ridzzuan Mohd Zain, berkata, dalam operasi yang bermula 3.15 petang melibatkan seramai 15 pegawai dan anggota dari Unit Tindakan Imigresen, Bahagian Penguatkuasa telah menjalankan OPS SAPU di hasil daripada maklumat yang diterima.
“Seramai 129 orang diperiksa, terdiri daripada 8 warga Malaysia, 100 warga Bangladesh, 2 warga Myanmar dan 19 warga Indonesia.
“Hasil pemeriksaan, seramai 104 PATI lelaki telah ditahan, terdiri daripada 91 warga Bangladesh dan 13 warga Indonesia.
"Kesemua PATI yang ditahan berumur antara 22 hingga 57 tahun,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Khamis.
Mohd Ridzzuan berkata, kesemua PATI yang ditahan disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c), Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
“Sebanyak satu (1) Borang IMM.29 (Saman Kepada Saksi) turut dikeluarkan sepanjang tempoh pemeriksaan. Kesemua warga asing yang ditahan telah dibawa ke Depot Imigresen Belantik, Sik, Kedah untuk tindakan dan siasatan lanjut.
“Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Kedah menegaskan bahawa operasi penguatkuasaan akan terus dilaksanakan secara berterusan tanpa sebarang kompromi bagi membanteras kehadiran PATI di negeri ini.
“Tindakan tegas juga akan diambil terhadap mana-mana majikan atau individu yang didapati menggaji, melindungi atau memberi perlindungan kepada warga asing yang melanggar undang-undang Imigresen,” katanya.