MALAYSIA
Imigresen Kedah tahan 64 warga asing dalam serbuan di dua kilang di Kulim

serbuan pertama dilakukan di sebuah kilang bateri yang dikesan mengajikan 210 pekerja asing. - Gambar Astro AWANI
KULIM: Jabatan Imigresen Kedah menahan 64 pekerja warga asing selepas menyerbu dua buah kilang di Kulim, pada Rabu.
Pengarah JIM Kedah, Mohd Ridzzuan Mohd Zain berkata, kesemua mereka ditahan dalam Operasi Mahir yang dijalankan bersama agensi lain antaranya Jabatan Tenaga Kerja (JTK), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM).
Beliau berkata, serbuan pertama dilakukan di sebuah kilang bateri yang dikesan mengajikan 210 pekerja asing.
“Daripada jumlah itu kita telah menahan seramai 34 orang terdiri daripada 16 lelaki warga Bangladesh, masing-masing seorang warga India, Indonesia, Myanmar dan 15 orang warga China.“Kesalahan dikesan Perkara 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 berkaitan dengan pelanggaran syarat pas atau permit yang dikeluarkan di bawah Peraturan-Peraturan Imigresen, Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
“Kita turut menyita sebuah kenderaan jenis Produa Alza bagi siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Sementara itu, dalam serbuan berikutnya di sebuah kilang memproses bahan plastik seramai 42 warga asing dilakukan pemeriksaan.
Mohd Ridzzuan berkata, seramai 12 lelaki dan 5 perempuan warga Myanmar, 12 lelaki warga Bangladesh dan seorang lelaki warga China ditahan.
“Ketika serbuan terdapat beberapa pekerja cuba melarikan diri ke dalam hutan dan kilang bersebelahan, namun usaha mereka gagal apabila anggota penguat kuasa telah memgepung kawasan terbabit.
“Mereka ditahan dibawah Perkara 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
“Operasi ini akan diteruskan bagi mengekang majikan yang mengambil pekerja warga asing daripada terus menetap di negara ini,” ujarnya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami