SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor memperluaskan syarat kelayakan permohonan Baucar Kita Selangor (BKS) kepada isi rumah berpendapatan RM8,000 ke bawah bagi membantu lebih banyak keluarga mendepani tekanan ekonomi dengan lebih sejahtera dan bermaruah.
Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat negeri Anfaal Saari berkata BKS yang dilaksanakan secara berfasa meliputi Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor itu diperkenalkan, antaranya bertujuan membantu rakyat yang terjejas akibat tekanan kos sara hidup dan ketidaktentuan ekonomi susulan krisis bekalan global.
Beliau berkata peringkat awal pelaksanaannya mengutamakan kumpulan rentan yang dikenal pasti melalui pradaftar, termasuk ibu tunggal dan ketua isi rumah miskin tegar.
“Permohonan BKS itu kemudian dibuka kepada isi rumah yang berpendapatan RM5,000 ke bawah di negeri ini.
“Selepas tempoh pelaksanaan itu, kerajaan negeri memperluaskan lagi had kelayakan kepada isi rumah berpendapatan RM8,000 ke bawah. Permohonan juga perlu dibuat melalui aplikasi SELangkah,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Anfaal berkata pendekatan berfasa itu memastikan golongan rentan diberi keutamaan terlebih dahulu sebelum akses diperluaskan kepada kumpulan berpendapatan isi rumah lebih tinggi.
“Setiap perluasan syarat ini menambah kumpulan berkelayakan dan tidak menjejaskan kelayakan mereka yang layak pada fasa sebelumnya.
“Pemohon yang masih dalam proses semakan atau dalam kategori ditolak dan proses rayuan juga akan dinilai semula berdasarkan syarat kelayakan terbaharu,” katanya.
Beliau berkata antara syarat utama permohonan BKS adalah warganegara Malaysia dan pemilih berdaftar yang menetap di Selangor.
“Pasangan berkahwin atau ibu bapa tunggal perlu mempunyai sekurang-kurangnya seorang anak berumur 18 tahun ke bawah dan pendapatan isi rumah RM8,000 ke bawah.
“Hanya seorang penerima bagi setiap isi rumah dan bukannya penerima aktif Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS).
Untuk maklumat lanjut mengenai syarat kelayakan, tatacara permohonan dan pelaksanaannya, orang ramai boleh melayari portal rasmi BKS di https://baucarkitaselangor.com/.
-- BERNAMA