SEREMBAN: Seramai 80 pendatang asing tanpa izin ditahan dalam serbuan Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sembilan (JIMNS) di 19 premis sekitar Seremban, Nilai dan Port Dickson pada 2 hingga 4 Januari ini.

Pengarah JIMNS Kennith Tan Ai Kiang berkata kesemua tahanan terdiri daripada 15 lelaki Bangladesh, 31 lelaki dan 19 perempuan (Indonesia), seorang wanita (Sri Lanka), dua lelaki (India), sembilan lelaki dan seorang perempuan (Myanmar) serta dua lelaki Thailand.

"Operasi tersebut melibatkan 17 pegawai. Hasil daripada operasi yang dilaksanakan, pemeriksaan telah dibuat keatas 161 individu termasuk warga asing," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata kesemua 80 warga asing itu ditahan atas pelbagai kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah, Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tinggal lebih masa dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat pas ditetapkan.

Kennith berkata kesemua tahanan dihantar ke Depot Imigresen Lenggeng untuk siasatan lanjut.

Beliau berkata pihaknya mengeluarkan lapan borang saman kepada majikan dan penjaga premis untuk hadir ke JIMNS bagi membantu siasatan.

-- BERNAMA