IPOH: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Perak menggempur sebuah pusat pelacuran dan pusat hiburan dalam Op Gegar di sekitar bandar raya ini mulai Sabtu malam hingga awal pagi Ahad.

Pengarah JIM Perak Meor Hezbullah Meor Abd Malik berkata, serbuan dibuat berdasarkan hasil pemantauan dan risikan yang dijalankan oleh Unit Risikan JIM di kesemua lokasi tersebut.

Menurutnya, dengan kekuatan anggota seramai 25 orang pegawai imigresen, pemeriksaan dijalankan ke atas 40 orang warga asing dan 21 orang warga tempatan.

“Seramai 24 orang warga negara asing ditahan kerana dipercayai melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Beliau berkata, kesemua yang ditahan terdiri daripada 18 wanita dan satu lelaki warga Thailand serta lima wanita warga Vietnam, berumur antara 20 dan 50 tahun.

Menurutnya, kesemua mereka ditahan bagi tujuan siasatan kerana dipercayai dengan munasabah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(c) akta sama, iaitu telah tinggal di Malaysia selepas tamat tempoh pas yang dikeluarkan, serta kesalahan di bawah Peraturan 39(b), Peraturan-peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat pas yang dikeluarkan.

Foto JIM Perak

“Kesemua mereka ditahan di Depot Imigresen Ipoh untuk siasatan dan tindakan lanjut,” tambahnya.

Meor Hezhullah berkata, JIM Perak berharap masyarakat dapat membuat laporan atau aduan bagi membantu membanteras kebanjiran pendatang tanpa izin (PATI) di negara ini.

Beliau turut memberi amaran, selain PATI, JIM juga akan mengambil tindakan tegas terhadap majikan atau individu yang menggaji atau melindungi mereka, termasuk pendakwaan di mahkamah.