NATIONAL
Imigresen selamatkan lelaki Bangladesh dieksploitasi rakan senegara

Zakaria berkata dalam operasi sama, seramai 85 warga asing terdiri daripada warga Bangladesh, Indonesia dan Vietnam turut ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen Malaysia menyelamatkan seorang lelaki warga Bangladesh dipercayai menjadi mangsa eksploitasi buruh paksa oleh rakan senegara dalam operasi di dua premis tapak pembinaan di Seremban, Negeri Sembilan semalam.
Operasi kira-kira 10.40 pagi itu melibatkan Bahagian Pencegahan Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) dan Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) dari Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban berkata mangsa berusia 33 tahun itu dibawa dua rakan senegara ke asrama penginapan di tapak pembinaan tersebut untuk membincangkan mengenai tawaran pekerjaan namun telah dianiaya.
"Mangsa mendakwa dikurung dan pergerakannya dikawal oleh dua individu terbabit yang berusia 29 dan 36 tahun. Mangsa turut mendakwa dirinya telah dipukul dan didera selain pasport dan telefon bimbit dirampas suspek."Hasil pemeriksaan lanjut dan penggeledahan, pasukan operasi berjaya menemukan barang dan beberapa dokumen milik mangsa dalam simpanan suspek," katanya kepada pemberita pada Majlis Sambutan Aidilfitri Jabatan Imigresen Kuala Lumpur di sini hari ini.
Zakaria berkata dalam operasi sama, seramai 85 warga asing terdiri daripada warga Bangladesh, Indonesia dan Vietnam turut ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.
"Operasi ini turut menggunakan pendekatan mengenal pasti mangsa pemerdagangan orang (buruh paksa) dalam kalangan golongan rentan dengan berpandukan Garis Panduan Nasional Mengenai Indikator Pemerdagangan Orang (NGHTI) 2.0.
"Kita turut memulakan siasatan bagi melihat kesalahan di bawah Akta ATIPSOM 2007," katanya.
Selain itu, beliau berkata pihaknya menjalankan pemeriksaan ke atas 46,790 individu dalam tempoh Januari hingga 2 April lepas dengan 19,361 orang ditahan kerana melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.
"Dalam tempoh sama, kita turut menahan 448 orang majikan yang disyaki melindungi pekerja secara tidak sah dan mereka ini akan didakwa di mahkamah," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami