Seramai 14,000 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan 320 orang majikan telah berjaya ditahan dalam operasi Jabatan Imigresen di seluruh negara bermula 1 Julai hingga malam tadi, kata Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia Datuk Seri Mustafar Ali.

Beliau berkata selepas tamatnya tempoh pendaftaran E-kad pada 30 Jun lepas, pihak Imigresen telah melancarkan Ops Mega Jabatan Imigresen sejak 1 Julai dan tindakan tegas telah dikenakan kepada PATI dan majikan-majikan yang masih berdegil.

"Kepada majikan-majikan yang masih berdegil melindungi PATI-PATI ini, saya nak beritahu mereka bahawa pihak imigresen tidak akan berkompromi dalam hal ini dan mereka berdepan dengan tindakan tegas termasuk pembekuan aset dan akaun sekiranya didapati bersalah," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Lapangan Terbangan Antarabangsa Pulau Pinang sini hari ini.

Program E-Kad yang dilancarkan pada 15 Feb tahun ini dan berakhir pada 30 Jun lalu dilaksanakan bagi membolehkan pendatang tanpa izin mendapatkan permit kerja sah menerusi beberapa prosedur yang ditetapkan Kementerian Dalam Negeri.

Mustafar berkata majikan-majikan yang didapati melindungi PATI akan dihadapkan ke mahkamah untuk tindakan lanjut manakala PATI yang ditahan dalam operasi akan dikenakan kompaun sebelum diusir balik.

"Seramai 38,880 PATI telah diusir balik ke negara masing-masing sejak awal tahun ini hingga 19 September lalu manakala hampir 100 majikan telah dikenakan tindakan mahkamah," katanya.

Beliau turut menyeru pihak majikan yang menggaji pekerja-pekerja asing yang layak didaftarkan supaya berbuat demikian sehingga hujung tahun ini untuk proses pengambilan semula.

Katanya, operasi menahan PATI-PATI di negara ini akan berterusan kerana masih terdapat ramai lagi pekerja-pekerja warga asing yang belum berdaftar.

"Semasa program E-Kad itu tamat pada 30 Jun 2017, saya menyasar untuk pendaftaran E-Kad itu adalah antara 400,000 hingga 600,000 orang, tetapi yang berdaftar 164,804 orang sahaja, maka saya anggapkan selebihnya adalah adalah PATI," katanya.

Beliau berkata lambakan PATI yang tidak sah menjadi penyumbang kepada kegiatan tidak bermoral serta petempatan haram di dalam negara.

Sementara itu, Mustafa berkata pihak imigresen telah meningkat kawalan di setiap pintu masuk ke negara bagi menyekat cubaan individu yang bermasalah untuk masuk ke Malaysia.

Katanya, pihak imigresen akan berkerjasama dengan agensi-agensi kerajaan untuk memastikan maklumat setiap individu yang ingin memasuki negara dapat dikongsi bersama.

"Individu-individu yang bermasalah tidak akan dibenarkan menjejakkan kaki mereka ke negara ini dan cubaan mereka akan ditolak di mana mereka akan diberikan Notis Penolakan Masuk (NIL) di bawah Seksyen 8 Akta Imigresen 1559/63," katanya.

Tambahnya, tindakan yang tegas itu diambil selaras dengan arahan daripada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menyatakan semalam bahawa Kerajaan Malaysia tidak akan membenarkan sebarang acara atau parti gay yang dilaporkan dirancang untuk diadakan di Kuala Lumpur pada 30 Sept.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata walaupun sehingga ini penganjur acara itu belum membuat permohonan permit bagi membolehkan acara itu berlangsung, beliau telah mengarahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tidak meluluskannya.

Laporan sebuah laman portal mengatakan satu acara gay akan diadakan di Kuala Lumpur pada 30 Sept ini, bagi mempromosikan acara perhimpunan gay tahunan terbesar di Asia iaitu "White Party Bangkok" di Thailand yang dijadualkan berlangsung pada 28 Dis depan.

-- BERNAMA