Imigresen tahan 36 pendatang tanpa izin, tiga lelaki tempatan

Tiga puluh lima PATI warga Myanmar yang ditahan dalam Ops Khas oleh PASTAK JIM Putrajaya, semalam. - Gambar JIM Putrajaya
KOTA BHARU: Jabatan Imigresen (JIM) menahan 36 pendatang tanpa izin warga Myanmar dan tiga lelaki tempatan termasuk seorang yang dikenali sebagai "Mat Sero" dipercayai tekong, dalam satu operasi di sini semalam.
Ringkasan AI
- Jabatan Imigresen (JIM) menahan 36 pendatang tanpa izin warga Myanmar dan tiga lelaki tempatan dalam operasi di sini, termasuk seorang yang dikenali sebagai "Mat Sero" yang dipercayai tekong.
- Operasi dilakukan menerusi Operasi Khas yang melibatkan 20 pegawai, menyita lapan kenderaan dan tiga telefon bimbit, serta mengesan modus operandi sindiket yang membawa masuk warga asing melalui laluan tikus di sempadan Kelantan.
- Sindiket tersebut mengenakan bayaran kira-kira RM400 hingga RM500 seorang kepada warga Myanmar untuk perjalanan ke Lembah Klang, dan kumpulan ini dipercayai aktif sejak enam bulan lalu, menjadikan kesan terhadap aktiviti penyeludupan di negara ini.
"Ketika pemeriksaan, kumpulan transporter atau ejen pengangkut bertindak agresif dan cuba melarikan diri dengan memecut laju serta melanggar beberapa kenderaan lain termasuk kenderaan pasukan operasi, namun mereka berjaya dipintas.
"Terdapat juga warga asing yang sempat keluar dari kenderaan dan bersembunyi di dalam semak berhampiran, tetapi mereka berjaya ditemukan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Zakaria berkata operasi itu dijalankan menerusi Operasi Khas bermula 5.52 pagi, melibatkan 20 pegawai daripada Pasukan Taktikal Khas, Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya serta imigresen Kelantan.
Beliau berkata pasukan operasi turut menyita tiga telefon bimbit dan lapan kenderaan jenis Mitsubishi Triton, Toyota Cross, Toyota Innova, Toyota Rush, Isuzu D-Max, Nissan X-Trail, Toyota Voxy dan Proton X90 untuk tindakan lanjut.
"Modus operandi sindiket ialah membawa masuk warga asing melalui laluan tikus di sempadan Kelantan menggunakan transporter warga Myanmar sebelum diserahkan pula kepada transporter tempatan untuk dibawa ke lokasi tertentu di Lembah Klang.
"Bayaran yang dikenakan sindiket ialah kira-kira RM400 hingga RM500 seorang bergantung kepada jarak perjalanan, dan kumpulan itu dipercayai beroperasi setiap minggu serta aktif sejak enam bulan lepas," katanya.
Zakaria berkata tiga lelaki tempatan dan seorang lelaki warga Myanmar disiasat di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 manakala 35 warga Myanmar mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


