MELAKA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) menggesa UMNO agar tidak mengelirukan rakyat berhubung arahan Kementerian Kewangan (MoF), menangguhkan pengeluaran Surat Setuju Terima (SST) baharu bagi projek jalan luar bandar.
Timbalan Setiausaha Agung PKR Saifuddin Shafi Muhammad berkata penangguhan SST, tidak sama dengan pembatalan projek pembangunan luar bandar, seperti yang didakwa oleh Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
“Jangan campurkan penangguhan SST projek jalan luar bandar dengan dakwaan pembatalan menyeluruh projek jalan, bekalan air dan elektrik. Jika benar ada arahan pembatalan, kemukakan dokumen dan senarai projek berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Saifuddin Shafi berkata demikian bagi mengulas kenyataan Asyraf Wajdi semalam, yang antara lain mendesak supaya MoF menarik balik arahan pembatalan projek luar bandar di Sabah dan Sarawak.
Beliau berkata MoF turut menghentikan kelulusan penggunaan kaedah Tender Terbuka Pra-Kelayakan Terpilih (TTPKT) bagi projek baharu, susulan penemuan Laporan Ketua Audit Negara yang melibatkan tatacara perolehan dan urus tadbir wang awam.
“Namun, rakyat mahu projek disiapkan. Justeru MoF dan KKDW (Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah), perlu segera menyelesaikan isu berbangkit serta memberikan kepastian mengenai pelaksanaan projek yang terjejas,” katanya.
Menangkis persepsi kononnya Sarawak dipinggirkan, Saifuddin Shafi berkata di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, peruntukan pembangunan negeri berkenaan dalam Belanjawan 2026 meningkat lebih dua kali ganda kepada RM6 bilion, berbanding RM2.9 bilion pada 2022.
Menyentuh mengenai etika berkempen, beliau berkata seruan Asyraf Wajdi supaya jentera Barisan Nasional (BN) berkempen secara berhemah sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, perlu turut dipraktikkan oleh semua pihak termasuk UMNO sendiri.
“Tentu sahaja saya bersetuju dengan seruan UMNO supaya kempen dijalankan secara berhemah dan berakhlak, tetapi menyebarkan fakta dangkal bukan sebahagian daripada usaha tersebut,” katanya.
Beliau berkata pimpinan parti bertanggungjawab memastikan ucapan dan tindakan jentera mereka di pentas kempen mahupun media sosial tidak melampaui batas, selain bertanding berdasarkan fakta, rekod perkhidmatan dan tawaran kepada rakyat.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 14 Nov sebagai hari pengundian PRN Melaka, manakala penamaan calon pada 31 Okt dan pengundian awal pada 10 Nov.
-- BERNAMA