KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki profesional negara Lee Zii Jia terpaksa melupakan hasrat untuk melangkah lebih jauh pada Terbuka Hylo 2026 selepas tersingkir pada pusingan kedua di Saarbrucken, Jerman, hari ini.
Zii Jia yang kini menghuni ranking ke-42 dunia memberikan tentangan sengit sebelum akur kepada pemain nombor sembilan dunia dari Jepun yang juga pilihan kelima kejohanan Kodai Naraoka 11-21, 21-13, 14-21 dalam pertarungan selama 63 minit di Saarlandhalle.
Kekalahan pada kejohanan berstatus Super 500 itu menyaksikan Zii Jia kini ketinggalan 3-4 dalam rekod pertemuan dengan Naraoka.
Turut terkandas pada pusingan kedua ialah beregu wanita negara Ong Xin Yee-Carmen Ting yang tewas kepada pilihan kelapan dari Hong Kong, Yeung Nga Ting-Yeung Pui Lam.
Xin Yee-Carmen bangkit pada set kedua selepas tewas set pembukaan, namun gagal meneruskan momentum apabila kecundang 16-21, 21-11, 20-22 dalam pertarungan tiga set.
Bagaimanapun, kem negara mendapat khabar gembira menerusi beregu campuran profesional Hoo Pang Ron-Lai Pei Jing yang melangkah ke suku akhir.
Pang Ron-Pei Jing mencipta kejutan apabila menyingkirkan pilihan keempat dari Taiwan, Yang Po-Hsuan-Hu Ling Fang, 21-9, 21-16 dalam tempoh hanya 25 minit.
Mereka seterusnya akan berdepan pilihan ketujuh dari Hong Kong, Chan Yin Chak-Ng Tsz Yau, yang mara selepas menewaskan pasangan Taiwan Wei Hsuan-Yi-Yang Chu Yu, 20-22, 21-18, 21-19.
-- BERNAMA