KUALA LUMPUR: Imuniti kelompok di Wilayah Persekutuan boleh dicapai lebih awal dari tempat-tempat lain di negara ini, kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, berdasarkan taklimat yang diberikan Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa, berkemungkinan, perkara itu diharap mampu dicapai pada bulan Ogos atau lebih awal lagi.

Jelasnya lagi, jangkaan itu mengambil kira faktor seperti kewujudan Pusat-pusat Pemberian Vaksin (PPV) Mega, serta PPV jenis mobil, dan lain-lain lagi.

"Saya nak jelaskan sikit…dan saya jangka (daripada) apa yang Tan Sri Annuar maklum kepada saya, Wilayah Persekutuan mungkin mencapai herd immunity (imuniti kelompok) lebih awal dari tempat-tempat lain.

“(Ini) kerana … satu dekat di sini ada banyak PPV Mega, campur yang mobil (bergerak) dan lain-lain lagi. Dan diharap Wilayah Persekutuan dapat capai tahap herd imunity pada bulan Ogos, atau pun mungkin lebih awal lagi daripada itu. Alhamdulillah,” katanya lagi.

Perdana Menteri berkata demikian kepada pemberita selepas melawat PPV Bergerak di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sri Johor, Bandar Tun Razak di sini hari ini yang turut disertai Annuar.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, kerajaan kini dalam proses merangka Pelan Pemulihan Negara sebagai persiapan untuk negara keluar daripada pandemik COVID-19 pada satu peringkat yang munasabah.

Menurut beliau, pelan yang dibuat berdasarkan kepada data, sains dan segala persiapan yang telah dilakukan termasuk dari segi pengurusan COVID-19, ekonomi, program vaksinasi dan sebagainya itu, akan dibentangkan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam tempoh seminggu akan datang.

BACA: Kerajaan rangka Pelan Pemulihan Negara sebagai persiapan keluar pandemik COVID-19 - PM