KEDUDUKAN Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) bagi tahun 2020 jatuh ke tangga 57 daripada 180 negara berbanding tangga 51 pada 2019.

Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Dr Muhammad Mohan berkata, tahun lepas Malaysia mencatatkan skor 51 daripada 100, kurang berbanding skor 53 yang dicatatkan pada tahun 2019.

Menurutnya, antara faktor kepada penurunan itu adalah kerana kegagalan pembentangan Rang Undang-undang (RUU) Pembiayaan Politik, serta beberapa pendakwaan rasuah yang digugurkan.

BACA: Skor Indeks Persepsi Rasuah Malaysia jatuh, ini puncanya

Berikut adalah beberapa pendakwaan kes rasuah atau salah guna kuasa yang pernah berlaku di Malaysia pada tahun 2020.

Berikut antara kes-kesnya:

1) Tan Sri Musa Aman
Bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman, bebas daripada semua 46 tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram berhubung kontrak konsesi balak di Sabah.

2) Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor
Mahkamah Tinggi membebaskan tanpa melepaskan bekas Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, 69, yang dituduh menerima rasuah RM1 juta daripada seorang ahli perniagaan.

3) Riza Aziz
Mahkamah Sesyen melepas tanpa membebaskan anak tiri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Riza Shahriz Abdul Aziz berhubung lima pertuduhan membabitkan dirinya dalam pengubahan wang haram berjumlah AS$248 juta (RM1.25 bilion).

4) Lim Guan Eng
Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng didakwa atas kesalahan di bawah Seksyen 16(a)(a) Akta SPRM 2009 kerana meminta suapan membabitkan kes projek terowong dasar laut di Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion.

5) Setiausaha Politik bekas Menteri Pertahanan
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan setiausaha politik bekas Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu untuk membantu siasatan rasuah membabitkan projek secara rundingan terus di Kementerian Pertahanan bernilai lebih RM56 juta.

6) Dua individu bergelar Datuk direman bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah membabitkan projek pembalakan bernilai lebih RM27 juta.

Seorang daripada suspek adalah bekas timbalan pengerusi syarikat berusia 65 tahun sementara seorang lagi ialah bekas ketua pegawai eksekutif berusia 40 tahun.

7) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan seorang bekas Ketua Penolong Setiausaha (KPSU) salah sebuah kementerian kerana disyaki menerima rasuah bagi satu tender kerajaan melibatkan nilai tender jumlah RM118 juta.

8) Seorang Pegawai Imigresen yang ditahan dalam Ops Selat dihadapkan di Mahkamah Sesyen atas 12 pertuduhan terbabit dalam penggubahan wang haram dan menerima rasuah bernilai RM885,950 sejak empat tahun lalu.

9) Seorang bekas pegawai Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) didakwa atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM100,000.

10) Seorang pegawai imigresen Gred KP19 didakwa atas 17 pertuduhan menerima rasuah RM20,000 bagi membantu melepaskan warga asing keluar dari Malaysia melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2).



Rasuah | Indeks Persepsi Rasuah Malaysia jatuh ke tangga 57