SHAH ALAM: Parti Keadilan Rakyat (PKR) menafikan dakwaan tular di sosial media yang menyatakan bahawa individu dipercayai direkrut oleh ejen perisikan Israel, Mossad merupakan ahli parti itu.

Perkara itu disahkan Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil.

“Saya sudah semak, mereka sah bukan anggota PKR,” katanya dalam satu kenyataan ringkas pada Rabu.

Sebuah media tempatan pada Selasa melaporkan mengenai dakwaan kemasukan ejen daripada agensi perisikan negara Israel yang didakwa bertujuan menculik seorang warga Palestin.

Menurut laporan terbabit, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dikatakan berjaya membongkar satu jaringan perisikan Israel, Mossad di Malaysia.

BACA: Mossad rekrut warga Malaysia? Pemerhatian menyeluruh sedang dijalankan kerajaan

Perkara tersebut terbongkar apabila dua rakyat Malaysia dipercayai ditahan kerana dikatakan terbabit dalam kes penculikan warga Palestin itu pada akhir September lalu.

Laporan tersebut turut menyatakan seorang wanita tempatan berusia 30 tahun dipercayai dilatih sebagai penyiasat persendirian di Perancis sebelum direkrut oleh ejen Mossad sebelum tahun 2018 dan disyaki menjadi dalang kepada rangkaian perisikan Israel di dalam negara.

Susulan daripada itu, tular di sosial media dakwaan bahawa individu terbabit dalam kes tersebut merupakan penyokong PKR.

Dalam pada itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani pada Selasa meminta orang ramai supaya tidak menimbulkan spekulasi berhubung penculikan seorang lelaki warga Palestin di Jalan Yap Kwan Seng, Kuala Lumpur, 28 September lalu.

Menurut beliau, kesemua 11 suspek terlibat telah dituduh dan siasatan lanjut sedang dijalankan sementara menunggu tarikh sebutan semula kes pada 15 Disember. -- Sinar Harian