SEPANG: Industri sukan elektronik atau e-sukan kini dalam pemerhatian Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berikutan industri itu terdedah kepada isu rasuah serta perjudian, kata Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki.

Menurutnya, aktiviti rasuah dalam industri e-sukan dipercayai berlaku dalam bentuk transaksi digital seperti bitcoin dan mata wang kripto dan ia menyukarkan pihak berkuasa untuk mengesannya.

"Kita masih belum menerima sebarang kes tetapi ia satu kesedaran buat kita. Jadi, kita kena bersedia, jangan tunggu berlaku," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Penyelidikan Governans, Integriti dan Antirasuah Peringkat Kebangsaan di sini hari ini.

Azam dalam ucapan perasmiannya berkata landskap industri sukan menjadi lebih mencabar apabila sukan elektronik menjadi perhatian kerana potensi dan nilai komersial tinggi yang mampu dijana oleh sektor berkenaan.

Dengan memetik laporan United Nations Office on Drugs and Crime (UNODC) bertajuk "Global Report on Corruption: Evolution in Sport Related to Corruption" pada 2021, Azam berkata laporan itu menyatakan tiada perundangan atau kerangka dasar yang mengawal selia operasi pengendali e-sukan menyebabkan e-sukan di seluruh dunia terdedah dengan rasuah.

"Dua risiko rasuah dalam e-sukan adalah kerana kejohanan e-sukan yang kompetitif dan tidak terkawal serta penipuan data digital sukan seperti manipulasi keputusan perlawanan melalui pelbagai platform e-sukan," katanya.

Persidangan anjuran Bahagian Perancangan Governans Nasional (BPGN) SPRM selama dua hari bermula hari ini menghimpunkan 10 tajuk kertas penyelidikan dalam pelbagai sektor tumpuan utama antaranya perolehan awam, sukan dan sektor tidak formal.

Persidangan itu ialah platform bagi perancang dasar dan pemain industri dalam menilai, merancang dan mengambil tindakan bersesuaian dalam membantu mewujudkan masyarakat MADANI yang bebas rasuah.

-- BERNAMA