KUALA LUMPUR: Industri pembinaan negara dijangka meningkat lima hingga enam peratus melibatkan nilai projek pembangunan sebanyak RM180 bilion pada tahun hadapan.

Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan berkata peningkatan itu dipacu oleh pelbagai projek pembinaan termasuk pembinaan bangunan, jalan, jambatan, cerun, penyelenggaraan bagi sektor swasta dan kerajaan.

"Dengan itu, pihak berkaitan dalam industri binaan akan memperoleh peluang yang besar dan kita harap kontraktor pelbagai gred akan mengambil peluang dalam sektor pembinaan dengan aktif pada tahun hadapan," katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja ke Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) pada Rabu.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif CIDB Malaysia Datuk Mohd Zaid Zakaria.

Dalam pada itu, Ahmad berkata kontraktor harus meningkatkan kemahiran bagi membantu merancakkan industri itu.

"CIDB juga sentiasa bersedia untuk meningkatkan kemahiran kontraktor daripada sederhana kepada kontraktor yang besar...sebab kita tahu betapa besarnya peluang dalam sektor ini pada tahun hadapan," katanya.

Menerusi Belanjawan 2024 yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, sejumlah RM90 bilion diperuntukkan bagi perbelanjaan pembangunan tahun hadapan.

Peruntukan itu merekodkan peningkatan RM6 bilion berbanding RM84 bilion yang diperuntukkan bagi tahun ini.

Terdahulu, Ahmad dalam ucapannya berkata beliau diberi mandat oleh Perdana Menteri untuk membantu memberi idea bagi mempercepatkan sebarang projek pembangunan termasuk yang merentas kementerian.

"Ini adalah arahan daripada Perdana Menteri apabila saya ditukarkan ke kementerian ini," katanya.

-- BERNAMA