KUALA LUMPUR: Universiti Teknologi Petronas (UTP) mengekalkan kedudukannya sebagai universiti swasta terbaik Malaysia, di tempat ke-242 dunia dalam kalangan 2,297 institusi dalam Times Higher Education (THE) World University Rankings 2027.
Keputusan itu mengekalkan universiti berkenaan dalam kelompok 250 universiti terbaik dunia, mencerminkan kemajuannya dalam mengintegrasikan pendidikan, penyelidikan gunaan dan keterlibatan antarabangsa.
Presiden UTP Mohamed Firouz Asnan dalam kenyataan hari ini memaklumkan industri kekal sebagai tonggak dengan skor tertinggi universiti itu, meningkat kepada 95.8 daripada 94.5 dalam edisi sebelumnya manakala skor Pandangan Antarabangsa mencapai 77.6.
Mohamed Firouz ketika mengulas mengenai pencapaian itu berkata walaupun ranking berfungsi sebagai penanda aras luaran yang berguna, tumpuan utama universiti itu kekal kepada kerelevanan pendidikan dan impak dunia sebenar.
“Dibina oleh industri untuk industri, inilah tujuan yang terus menjadi panduan UTP. Apa yang penting bagi kami ialah sama ada pendidikan kami kekal relevan, sama ada penyelidikan kami menangani keperluan sebenar dan sama ada kerjasama kami mewujudkan nilai yang melangkaui universiti,” katanya.
Beliau berkata institusi itu akan terus mengutamakan usaha memperkukuh kualiti penyelidikan, kerjasama penyelidikan antarabangsa dan impak sitasi.
“Keutamaan kami adalah untuk terus memperkukuh kualiti, keterlihatan dan pengaruh penyelidikan kami. Ketika kami meneruskan perjalanan transformasi, tumpuan kami kekal kepada menterjemahkan pengetahuan kepada penyelesaian praktikal serta melengkapkan graduan kami untuk berkembang maju sebagai golongan profesional dan pemimpin,” katanya.
-- BERNAMA