KUALA LUMPUR: Kerajaan akan meneliti cadangan Persatuan Pengilang Plastik Malaysia (MPMA) bagi membantu industri plastik yang berdepan tekanan kos susulan gangguan rantaian bekalan global dan peningkatan harga bahan mentah.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) selepas mendengar pembentangan MPMA mengenai cabaran semasa industri.
Menurutnya, maklum balas pengilang menunjukkan mereka berdepan peningkatan kos bahan mentah, logistik, tekanan aliran tunai serta ketidaktentuan tempoh penghantaran.
"Bagi sesetengah syarikat, kesannya sudah mempengaruhi kontrak perniagaan, keputusan pelaburan dan pengurusan tenaga kerja," katanya semasa sidang media Taklimat Krisis Bekalan Global di Parlimen hari ini.
Akmal berkata, industri plastik merupakan industri sokongan kepada pelbagai sektor dengan nilai jualan RM62.69 bilion pada 2025 berbanding RM64.78 bilion pada tahun sebelumnya.
Katanya, segmen pembungkusan menyumbang 45 peratus daripada pasaran industri plastik, diikuti sektor elektrik dan elektronik (E&E) sebanyak 29 peratus.
Beliau berkata, tekanan terhadap industri itu boleh memberi kesan kepada sektor pembungkusan makanan, automotif, peranti perubatan, pembinaan, pertanian serta eksport pembuatan.
MPMA turut membangkitkan beberapa isu berkaitan struktur kos dan daya saing pengilang hiliran, termasuk perbezaan kos bahan mentah berbanding negara pesaing.
Sehubungan itu, MTEN memutuskan supaya Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) bersama Kementerian Ekonomi meneliti cadangan tersebut.
“Ia bertujuan mengambil kira kepentingan keseluruhan rantaian industri, keseimbangan fiskal serta daya saing ekonomi negara dalam jangka panjang,” katanya lagi.