Skip to main content

Malaysia

Industri sawit perlu pertingkat usaha cegah kebakaran, jerebu - SD Guthrie

Industri sawit sering dipersalahkan berhubung kejadian kebakaran dan jerebu, walaupun punca sebenarnya adalah berbeza. - Gambar hiasan
Industri sawit sering dipersalahkan berhubung kejadian kebakaran dan jerebu, walaupun punca sebenarnya adalah berbeza. - Gambar hiasan
Advertisement

KUALA LUMPUR: Industri sawit perlu mempergiat langkah pencegahan kebakaran dan sentiasa siap siaga bagi melindungi masyarakat serta alam sekitar daripada ancaman jerebu, termasuk melakukan lebih daripada pematuhan kawal selia untuk menghasilkan impak positif.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SD Guthrie Bhd, Mohd Haris Mohd Arshad berkata, industri sawit sering dipersalahkan berhubung kejadian kebakaran dan jerebu, walaupun punca sebenarnya adalah berbeza dan kewujudan titik panas semata-mata tidak membuktikan wujud salah laku.

Beliau berkata, industri itu juga perlu menilai amalan masing-masing dan memastikan sebarang kesimpulan perlu dibuat berdasarkan bukti.

Advertisement

“Walaupun berdepan pelbagai kerumitan, kita perlu sentiasa ingat bahawa tanaman bukan punca masalah. Aktiviti manusia yang menjadi penyebabnya,” katanya menerusi ucapan penaja utama bertajuk "Greater Possibilities, Rooted in Responsibility" pada Sesi Meja Bulat Minyak Sawit Mampan (RSPO) Persidangan Meja Bulat 2026 (RT2026) di Jakarta, Indonesia, pada Selasa.

Mohd Haris berkata, jerebu membawa kesan serius kepada masyarakat apabila pekerja terdedah kepada udara tidak sihat, kanak-kanak terpaksa berlindung di dalam rumah, manakala warga emas serta individu bermasalah kesihatan berdepan risiko lebih tinggi.

Advertisement

Beliau berkata, tindakan segera perlu diambil bagi mengelakkan kebakaran merebak sehingga mencetuskan kecemasan yang lebih besar.

Mohd Haris turut menggariskan tiga pendekatan praktikal untuk menangani risiko kebakaran, iaitu "See It, Own It dan Sort It", dengan pendekatan pertama menekankan pemantauan, kebolehkesanan, data saintifik serta pengetahuan tempatan bagi mengenal pasti risiko sebelum kemunculan asap.

"Sistem amaran awal hanya berkesan sekiranya maklumat berkenaan disampaikan kepada pihak yang berupaya mengambil tindakan,” katanya.

Menerusi pendekatan "Own It", Mohd Haris berkata, tanggungjawab wajar ditetapkan dengan jelas, manakala syarikat perlu bekerjasama dengan masyarakat dan pihak berkuasa apabila risiko kebakaran melangkaui sempadan kawasan masing-masing.

Beliau berkata, antara langkah yang boleh diambil ialah berkongsi maklumat amaran, menyelaraskan tindakan serta membantu masyarakat mendapatkan alternatif yang praktikal bagi mengelakkan pembakaran.

Bagi pendekatan "Sort It", Mohd Haris berkata, tindakan perlu diambil segera sebaik sahaja risiko dikenal pasti, termasuk mengenakan tindakan terhadap salah laku yang terbukti, memulihkan kerosakan dan menambah baik sistem yang gagal berfungsi.

"Apabila salah laku terbukti, tindakan tegas mesti diambil. Apabila kemudaratan berlaku, kita wajib mengatasinya. Apabila sistem gagal, kita harus memperbaikinya," katanya sambil menambah bahawa saiz, sejarah dan pensijilan yang dimiliki SD Guthrie tidak meletakkan syarikat itu bebas daripada penelitian, sebaliknya meningkatkan piawaian yang perlu mereka patuhi.

Mohd Haris berkata, usaha industri untuk memulihkan reputasi dan kepercayaan masyarakat perlu melebihi keperluan minimum kerana pencegahan kemudaratan dan pematuhan piawaian adalah asas operasi bertanggungjawab, bukannya had pencapaian yang boleh dilakukan.

Beliau berkata, kerangka kelestarian "Beyond Zero" SD Guthrie mencerminkan aspirasi syarikat itu untuk beralih daripada sekadar mengurangkan kemudaratan kepada menghasilkan impak positif terhadap alam semula jadi, masyarakat dan kehidupan.

Kerangka itu berteraskan tiga tonggak, iaitu "Zero" bagi mengurangkan kesan negatif terhadap manusia dan bumi, "Restore" untuk memulihara serta memulihkan alam semula jadi dan biodiversiti manakala "Transform" bertujuan meningkatkan kehidupan serta mata pencarian masyarakat.

Mohd Haris turut mengetengahkan projek rintis lima tahun janaan semula minyak sawit dengan kerjasama WWF-Malaysia yang diumumkan awal tahun ini meliputi kawasan kira-kira 13,000 hektar di Tawau-Kunak, Sabah.

“Penilaian asas projek itu melibatkan empat ladang diperakui RSPO dan sebuah kilang bagi meneliti amalan pertanian, usaha pemuliharaan serta langkah melindungi keselamatan pekerja,” katanya sambil menambah kamera perangkap yang dipasang di kawasan itu merakam beberapa spesies hidupan liar, termasuk tenggiling Sunda, harimau dahan Borneo dan beruang matahari, dengan sebahagiannya dikesan di kawasan ladang syarikat itu.

Mohd Haris berkat, penilaian berkenaan turut mengenal pasti kawasan keutamaan bagi menghubungkan semula habitat supaya hidupan liar dapat bergerak merentasi landskap tersebut.

Beliau berkata, inisiatif itu juga bertujuan meningkatkan kesihatan tanah, mengekalkan produktiviti pertanian serta memberikan manfaat tambahan kepada pekerja dan masyarakat sekitar, selain mengiktiraf kepentingan hutan semula jadi yang tidak berganti.

Mohd Haris berkata, wakil SD Guthrie dan WWF-Malaysia turut membentangkan dapatan serta perkembangan kerjasama janaan semula pertanian itu pada Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (COP17) di Armenia.

Pada masa sama, beliau turut menyeru pemain industri, khususnya pengusaha ladang yang diperakui RSPO supaya memperkukuh piawaian kelestarian sedia ada serta membuktikan operasi mereka dapat meningkatkan daya tahan landskap selain memberikan manfaat lebih luas kepada masyarakat dan alam semula jadi.

“Apabila ancaman jerebu berlaku lagi di rantau ini, janganlah kita mencari siapa yang harus dipersalahkan. Sebaliknya, kita perlu bersedia dengan jaringan kerjasama, ketelusan dan tindakan yang sewajarnya,” katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement