KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menambah baik pelan jangka pendek dan panjang pengurusan banjir negara, termasuk memperkasakan Sistem Amaran Siren Banjir Berpusat dikoordinasi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri berkata, sehubungan itu satu Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) akan dilaksanakan sejurus selepas Monsun Timur Laut tamat.

“Contoh (mengenai Sistem Amaran Siren Banjir Berpusat) di Sri Muda, siren amaran telah dibunyikan sebagai amaran kepada penduduk. Kerajaan juga akan menambahkan lagi jumlah siren yang dilengkapi amaran suara di lokasi-lokasi berisiko untuk mengarahkan penduduk berpindah.

“(Selain itu) kamera litar tertutup (CCTV) (ditambah baik) di stesen pemantauan aras air agar penduduk bersedia untuk berpindah sekiranya air berada pada paras bahaya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, katanya kerajaan memperuntukkan RM967.2 juta bagi melaksanakan inisiatif pemulihan kawasan bencana banjir sepanjang Monsun Timur Laut 2021/2022 di seluruh negara.

Ini membabitkan 895 lokasi banjir, banjir kilat, cerun runtuh, jalan runtuh, jalan mendap dan jambatan runtuh atau rosak.

“Sebanyak 802 lokasi telah selesai aktiviti pembersihan iaitu di negeri Kedah tiga, Perak (17), Selangor (134), Negeri Sembilan (45), Melaka (17), Johor (enam), Pahang (533), Terengganu (13), Kelantan (34).

“Pembaikan kekal dijangka dilaksanakan bermula Januari 2022 dan selesai pada Jun 2022,” ujarnya.

[LAPOR LANGSUNG] Paras sungai tahap bahaya, penduduk di lima negeri diminta waspada

Terdahulu, Perdana Menteri mempengerusikan Mesyuarat Khas Task Force Pengurusan Paca Banjir Monsun Timur Laut 2021/2022.

Tambahnya, kluster komunikasi strategik yang diterajui Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) aktif melaksanakan hebahan maklumat sejak bermulanya musim Monsun Timur Laut.

"Usaha dipergiatkan sejak jangkaan berlaku gelombang kedua bagi memastikan penduduk khususnya dan negara amnya bersedia agar keadaan lebih terkawal," katanya.

Katanya, penyelarasan usaha mobilisasi anggota perkhidmatan awam membantu kerja-kerja pembersihan dan kemanusiaan juga melibatkan tenaga kerja hampir separuh daripada penjawat awam Persekutuan dan negeri di seluruh Malaysia.

“Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melaporkan sehingga 2 Januari 2022, kerja-kerja pembersihan bagi lima buah negeri iaitu Selangor telah selesai 82 peratus, Kuala Lumpur (100 peratus), Negeri Sembilan (95 peratus), Pahang (77 peratus) dan Melaka (91 peratus).

“Dianggarkan sebanyak 53,800 tan sisa banjir telah diurus menggunakan 2,730 jentera,” katanya lagi.