Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 383 individu atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sepanjang Ahad.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, seramai 32 individu direman manakala 351 individu lagi dikenakan kompaun.

"Antara kesalahan ingkar PKP termasuk aktiviti dalam pub atau kelab malam (328 individu) serta aktiviti yang melibatkan kehadiran orang ramai sehingga menyukarkan penjarakan sosial dan aktiviti yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) (55 individu)," katanya dalam kenyataan di sini pada Isnin.

Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata, sebanyak 61,907 pemeriksaan menerusi Task Force Operasi Pematuhan bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan SOP Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

"Sebanyak 2,809 pasukan pematuhan melibatkan 11,996 anggota telah membuat pemantauan di 3,681 pasar raya, restoran (5,535); penjaja (1,882); kilang (2,086); bank (3,458); dan 754 pejabat kerajaan.

"Juga dipantau, sebanyak 1,166 terminal pengangkutan darat, 214 terminal pengangkutan air serta 96 terminal pengangkutan udara," tambahnya.