KETIKA vaksin untuk mencegah dan melawan virus COVID-19 masih dalam pencarian, ubat yang sedia ada juga kekal menjadi perdebatan kajian oleh saintis dan pakar perubatan dari seluruh dunia.

Namun, adakah ubat-ubatan yang sesetengah daripadanya didakwa mampu merawat ‘musuh halimunan’ ini betul-betul berkesan?

Apa yang pasti, setiap ubat pasti ada kesan sampingannya.

Berikut disenaraikan lima jenis ubat yang boleh dikatakan masih dalam kajian untuk diguna pakai kepada pesakit COVID-19.


1) Ubat anti-malaria Hydroxychloroquine

Hydroxychloroquine (HCQ) merupakan ubat yang paling popular dalam usaha pencarian penawar COVID-19 ketika ini kerana ia pada awalnya didakwa boleh merawat virus itu.

Malah pemimpin dunia seperti Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dilihat giat mempromosikan ubat anti-radang ini dengan mengakui beliau mengambilnya sebagai pencegahan untuk virus terbabit.

BACA: COVID-19: AS hantar 2 juta dos ubat anti-malaria ke Brazil

Namun, ia menjadi pertikaian apabila ada sesetengah negara seperti Perancis berhenti menggunakan HCQ sebagai rawatan.

Antara negara yang turut sama mengikut jejak Perancis ialah Itali, Mesir, Tunisia, Colombia, Chile, El Salvador, Cape Verde, Albania dan Bosnia Herzegovina.

Sementara negara yang masih meneruskan penggunaan HCQ ialah Brazil, Algeria, Maghribi, Turki, Jordan, Romania, Portugal, Kenya, Senegal, Chad dan Republik Congo.

Di Malaysia, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata negara ini masih menggunakannya, namun berjaga-jaga.

Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) pada 25 Mei lalu, bagaimanapun, mengumumkan untuk menggantung buat sementara waktu penggunaan HCQ sebagai rawatan COVID-19 dalam kajian yang dilakukannya di peringkat global.

Ia selepas kajian mencadangkan penggunaan ubat anti malaria itu meningkatkan risiko kematian dalam kalangan pesakit COVID-19.

Namun, badan itu pada 4 Jun mengumumkan ujian klinikal ubat anti malaria bagi rawatan koronavirus akan diteruskan semula.

Dalam masa sama, badan itu merumuskan tiada sebab untuk menukar protokol ujian selepas meneliti data mortaliti.

HCQ biasanya digunakan untuk merawat artritis dan chloroquine, antimalaria.



2) Ubat kutu Ivermectin

Penyelidik Melbourne di Australia mendakwa ubat antiparasit Ivermectin yang biasa digunakan untuk memerangi gejala kutu kepala mampu membunuh virus yang menyebabkan COVID-19 dalam tempoh 48 jam.

Kajian yang diketuai oleh Universiti Monash itu menunjukkan dos tinggi ubat biasa Ivermectin dapat menghalang virus SARS-CoV-2 yang hidup di dalam sel manusia.

Bagaimanapun, sehingga kini, tidak diketahui dengan tepat bagaimana Ivermectin berfungsi terhadap SARS-CoV-2, iaitu virus yang menyebabkan COVID-19.

Sebatian penawar itu dianggap sebagai penghalang salah satu proses semulajadi sel.

Ivermectin juga telah terbukti berkesan dalam kajian makmal terhadap virus termasuk HIV, denggi dan influenza.

BACA: Ubat kutu Ivermectin mampu rawat jangkitan COVID-19 - Saintis Australia


3) Ubat antiviral Favipiravir

Avigan, atau turut dikenali Favipiravir, adalah ubat antivirus yang dibangunkan Toyama Chemical of Japan bagi merawat influenza.

Namun, penyelidik China mendapati ia turut berkesan merawat COVID-19.

Menerusi perkembangan di Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mempertimbang penggunaan ubat ini bagi merawat pesakit positif COVID-19.

Jelas Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, ubat itu, yang juga dikenali sebagai Avigan dan Fuhaikang, tidak didaftarkan di negara ini namun ia tertakluk kepada kelulusan KKM selepas meneliti kesan sampingannya.

BACA: COVID-19: KKM pertimbang guna Favipiravir rawat pesakit


4) Ubat anti-viral Remdesivir

Pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) pada Mei lalu mula membenarkan penggunaan ubat Remdesivir yang masih dalam kajian untuk merawat pesakit COVID-19 semasa kecemasan.

China juga pernah menjalankan ujian klinikal ke atas 500 pesakit koronavirus menggunakan ubat antiviral itu yang dipercayai berpotensi menyembuhkan penyakit itu.

Antivirus itu pertama kali dihasilkan oleh syarikat gergasi farmaseutikal biotek Gilead Sciences bagi merawat jangkitan virus Ebola dan Marburg.

Menerusi kajian yang dijalankan ke atas jangkitan dalam tikus dan monyet, ia bagaimanapun turut menunjukkan potensi sebagai ejen antiviral melawan koronavirus seperti SARS (sindrom pernafasan akut teruk).

Di Malaysia, Kementerian Kesihatan (KKM) pada Rabu memaklumkan kementerian itu sedang mengumpul data mengenai keberkesanan dan kesan sampingan penggunaan ubat antivirus Remdesivir dalam merawat pesakit COVID-19.

BACA: COVID-19: KKM kaji kesan ubat Remdesivir, akan maklum kepada WHO

BACA: Tiga jenis ubat boleh diguna rawat COVID-19 - KP Kesihatan


5) Gabungan Ritonavir/Lopinavir dan Interferon-beta

Menurut Dr Y.L.M, seperti dipetik dari laporan The Star, ritonavir merupakan ubat antiretroviral yang digunakan untuk merawat HIV ketika penemuan pertamanya pada 1989.

Fungsi ubat lopinavir pula hanya berfungsi apabila ia digandingkan dengan ritonavir.

Kajian di Wuhan, bagaimanapun, mendapati kombinasi kedua-dua itu tidak berkesan untuk melawan COVID-19.

Sementara itu, interferon-beta pula adalah tindak balas dalam bentuk ‘sitokin’ yang dihasilkan oleh badan kita sendiri sebagai sebahagian daripada tindak balas imun terhadap virus atau bakteria yang menyerang.

Pencarian penawar bagi merawat penyakit ini secara jelas menjadi salah satu ikhtiar dan usaha bagi sesebuah sistem kesihatan setiap negara untuk memerangi pandemik yang telah meragut ratusan ribu nyawa.

Lambat atau cepat, setiap individu perlu yakin bahawa ia boleh ditangani kerana setiap penyakit pasti ada penawarnya kecuali mati.