Tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tidak menolak kemungkinan untuk bersama pembangkang seandainya menteri sedia ada hari ini melakukan penyelewengan dalam pentadbiran dilihat sebagai amaran keras buat semua pemimpin ketika ini.

Penganalisis Politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, kenyataan berkenaan bersifat peringatan dan pencegahan.

Katanya, tindakan tersebut membuktikan komitmen Anwar untuk memerangi penyalahgunaan kuasa yang mungkin akan mengetuai kerajaan di masa akan datang.

"Ini amaran keras beliau dan dalam konteks ini saya rasa beliau cuba nak pastikan kepimpinan kerajaan Pakatan Harapan mestilah kerajaan yang telus, bertanggungjawab dalam melaksanakan pentadbiran secara adil serta mengelak perkara yang tak sihat," katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Ahad.

Jelas Mohd Azizuddin, kenyataan berkenaan tidaklah membawa makna Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menyertai pembangkang.

"Biarpun Anwar belum pegang apa-apa portfolio atau sebagai ahli parlimen, beliau ada hak untuk bersuara sekiranya berlaku penyelewengan sebagaimana yang berlaku dalam era Barisan Nasional.

"Mungkin bukan untuk sertai pembangkang, tetapi bersama-sama menyuarakan pandangan mengkritik kepimpinan yang menyeleweng.

"Dalam konteks ni, ada kewajaran beliau sebagai pemimpin utama negara untuk bertindak sedemikian untuk elakkan daripada unsur-unsur yang tidak sihat dalam kerajaan," jelasnya.

Anwar sebelum ini memberitahu telah menyenarai pendek tiga kerusi Parlimen untuk bertanding dalam masa terdekat.