Ini kalilah! Barisan Nasional (BN) mungkin akan menawan semula Parlimen Gombak pada pilihan raya umum ke-13.

Jentera parti itu tampak jauh lebih yakin pada hari penamaan calon Parlimen Gombak yang telah diadakan pada Sabtu.

Jika dilihat dari kehadiran jentera serta penyokong-penyokong Barisan Nasional (BN) pada penamaan calon kali ini, ia amat berbeza dengan suasana pada pilihan raya umum 2008.

Kehadiran pada kali ini dilihat amat memberangsangkan jesteru meyakinkan calon BN yang bakal bertanding di kawasan itu untuk memenangi Pilihan Raya Umum ke-13, yang bakal diadakan 5 Mei nanti.

Meskipun sudah sejam setengah proses penamaan calon berakhir, meskipun penyokong-penyokong Pakatan Rakyat telah pulang, penyokong-penyokong BN dilihat masih berada di kawasan pusat penamaan – setia menanti bersama pemimpin mereka.

BN Gombak kali ini dijangka memberi saingan yang hebat kepada Pakatan Rakyat serta calon Bebas yang bertanding di situ.

Calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Gombak Setia, Datuk Said Anuar Said Ahmad berkata beliau yakin bahawa kemenangan akan berpihak pada BN bagi PRU13 ini.

.
Datuk Said Anuar (kanan) bersama seorang penyokong

“Yang pertama saya yakin BN akan menang pada pilihan raya akan datang kerana begitu ketara sekali jentera-jentera di peringkat akar umbi begitu semangat dan berkobar-kobar untuk menggerakkan jentera bagi memastikan kemenangan,” kata beliau.

Katanya rakyat mahukan perubahan ke arah mengikuti transformasi yang dicetuskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Selain itu, katanya sokongan dari akar umbi kali ini juga sangat memberangsangkan apabila ramai dari mereka yang turun untuk membantu secara sukarela.

Sementara itu, Ketua Pemuda Umno Gombak Datuk Megat Zulkarnain Omardin turut mengakui sokongan yang diberikan kepada BN Gombak pada hari ini.

.
Datuk Megat Zulkarnain Omardin

“Luar biasa! Kalau dapat kita lihat hari ini kehadiran pemuda cukup memberansangkan. Mereka berada dalam keadaan yang bersiap siaga dan saya yakin semangat ini telah pun saya dan rakan-rakan bina selama lima tahun ini,” kata beliau kepada Astro Awani.

Beliau berharap agar sokongan itu diterjemahkan kepada undian bagi mengambil semula tampuk pemerintahan negeri Selangor yang telah jatuh kepada Pakatan Rakyat.

Bagi ahli BN Batu Caves, N.Vijaya Shankar pula, kehadiran jentera serta penyokong-penyokong BN yang ‘meriah’ pada hari penamaan calon membuktikan sokongan kepada parti itu telah pulih.

“Sokongan kepada BN dah kembali pulih berbanding 2008... banyak berubah. Kehadiran juga penuh,” kata Vijaya.

Selain itu, beliau juga percaya bahawa agenda transformasi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah berjaya menyatukan rakyat dari semua lapisan masyarakat.

Bagi Ramlah Bachik pula, dia mengharapkan agar BN menang dengan cemerlang pada pilihan raya umum kali ini.

.
Ramlah Bachik: Harapkan kemenangan BN

Proses penamaan calon bagi Parlimen Gombak berlangsung pada Sabtu di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Pusu, Gombak.

Pusat penamaan itu dihadiri oleh ribuan penyokong-penyokong dari BN dan juga Pakatan. Namun penyokong BN dilihat lebih kukuh berbanding PRU lepas apabila mereka hadir dengan jumlah yang agak ramai.

Pertandingan di Gombak menyaksikan pertembungan tiga penjuru di mana Timbalan Presiden PKR Azmin Ali bertanding menentang Datuk Dr Rahman Ismail (BN) dan Datuk Said Naza Abu Bakar, calon Bebas.

Bagi kerusi DUN Batu Caves pula, pertandingan tiga penjuru turut berlaku antara Rawichandran Narayanan (BN), Amirudin Shari (PKR) dan Suman Gopal (Bebas).

Untuk DUN Gombak Setia, Datuk Said Anuar Said Ahmad dari BN dan akan menentang Hasbullah Ridzwan dari Pas.

Bagi kerusi DUN Hulu Kelang pula, ia bakal menyaksikan pertandingan satu lawan satu di antara Ketua Bahagian Umno Gombak Abdul Rahim Pandak Kamarudin (BN) dan Saari Sungib (Pas).

BN telah menjadi pembangkang di kawasan Gombak apabila tewas 4 - 0 pada pilihan raya umum ke-12 yang lalu.