NATIONAL
Ini 'show terakhir' - pesanan Mejar Zahir kepada ibu

Ditemui di perkarangan Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Queen Elizabeth, Rusunjan berkata, berita mengenai anaknya terkorban amat mengejutkan mereka sekeluarga namun dia tetap reda dengan pemergian arwah. - Foto Ruzaini Zulkepli/Astro AWANI
'Show terakhir.' Ini merupakan pesanan teks terakhir yang dikirim melalui aplikasi WhatsApp, yang dihantar Allahyarham Mejar Mohd Zahir Armaya kepada ibunya.
Rusunjan Mohamad, 57 tahun, dari Kampung Indai, Tuaran, berkata itulah kali terakhir dia berhubung dengan anak sulungnya itu.
Jelas Rusunjan yang ditemui di perkarangan Jabatan Perubatan Forensik Hospital Queen Elizabeth (HQE) berita mengenai anaknya terkorban amat mengejutkan mereka sekeluarga namun tetap reda dengan pemergian Allahyarham.
"Sebelum itu dia ada hantar WhatsApp, mengatakan ia 'show' terakhir," katanya.
Allahyarham Mejar Zahir, 36 tahun, didakwa tertembak oleh rakannya sendiri dalam jarak lingkungan lima meter.
Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Haris Ibrahim dalam kenyataan medianya sebentar tadi mengesahkan kejadian itu.
Beliau berkata, dalam kejadian jam 8.25 pagi mangsa ketika itu sedang melakukan acara persembahan tembak sempena Majlis Perbarisan Penubuhan Divisyen ke-5 Infantri Malaysia dan Briged ke-13 Infantri Malaysia di Kem Lok Kawi.
Sementara itu, Rusunjan mendedahkan jenazah anaknya akan dikebumikan di Perak, dan diterbangkan ke Semenanjung Malaysia pada malam ini.
Jenazah Allahyarham akan disembahyangkan di Masjid As-Salam, Kem Lok Kawi, Putatan pada petang ini.
Allahyarham akan dikebumi di Tanah Perkuburan Tambun, Perak.
Untuk rekod, kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami