Skip to main content

Malaysia

Sekolah agama JAIS ditutup mulai hari ini susulan jerebu

Sekitar bandar raya Shah Alam terjejas akibat diselubungi jerebu. Gambar kecil: Mohd Shahzihan. - Foto Sinar Harian
Sekitar bandar raya Shah Alam terjejas akibat diselubungi jerebu. Gambar kecil: Mohd Shahzihan. - Foto Sinar Harian

Advertisement

SHAH ALAM: Semua Sekolah Agama Negeri di bawah kawalan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di negeri ini ditutup sepenuhnya mulai hari ini susulan keadaan jerebu.

Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, penutupan itu berkuat kuasa mulai 9 Oktober ini sehingga dimaklumkan semula oleh JAIS.

Menurutnya, Sekolah Islam Persendirian yang berdaftar dengan JAIS turut disarankan mengikuti ketetapan berkenaan.

"Guru dan Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP) hendaklah melaksanakan Bekerja Dari Rumah (BDR) sepanjang tempoh penutupan, tertakluk kepada arahan dan keperluan semasa," katanya dalam kenyataan semalam.

Mohd Shahzihan memberitahu, guru juga hendaklah melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran dari Rumah (PdPR) bagi memastikan kelangsungan pembelajaran murid sepanjang tempoh penutupan.

"Pihak sekolah hendaklah terus membuat pemantauan keadaan semasa dan mengutamakan keselamatan, kesihatan serta kebajikan murid dan warga pendidikan.

"Ibu bapa dan penjaga dimohon mengikuti perkembangan serta makluman rasmi daripada JAIS dari semasa ke semasa khususnya berkaitan tarikh pembukaan semula sekolah," ujar beliau.

Mohd Shahzihan berkata, ibu bapa dan penjaga juga dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang andaian berkaitan pembukaan sekolah dan hanya merujuk kepada makluman rasmi JAIS.

"Selain itu, ibu bapa dan penjaga disarankan menasihati anak-anak supaya mematuhi arahan pihak sekolah, menjaga keselamatan diri dan tidak terlibat dengan perkara tidak sepatutnya sepanjang tempoh penutupan sekolah," tambah beliau. - Sinar Harian

 

Must Watch Video

Advertisement