KUALA LUMPUR: Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) menafikan dakwaan bahawa konfigurasi perisian unit kuasanya digunakan tanpa diuji, sebaliknya mengesahkan pakej berkenaan menjalani simulasi dan penilaian di litar secara menyeluruh sebelum digunakan.
Badan induk sukan permotoran dunia itu ketika mengulas perkara sebenar susulan gangguan teknikal yang menjejaskan prosedur permulaan perlumbaan Formula 1 (F1) Grand Prix (GP) Gulf Air Bahrain di Malaysia 2026 pada Ahad lepas, memaklumkan pasukan dan pengeluar enjin telah mengesahkan sistem berkenaan menerusi latihan simulasi secara meluas sebelum ini.
“Pakej perisian itu kemudiannya diuji dalam sesi pemanduan berskala penuh ketika sesi Latihan Bebas 1 pada GP Belgium dan GP Belanda,” menurut FIA dalam kenyataan yang dikongsikan menerusi media sosialnya semalam.
Penjelasan itu dibuat susulan semakan pascaperlumbaan berhubung isu perisian yang berlaku ketika pusingan formasi perlumbaan di Litar Antarabangsa Sepang pada hujung minggu lepas.
Menurut kenyataan itu, siasatan FIA mendapati beberapa jentera yang beroperasi pada putaran enjin rendah (RPM) di sektor yang mengenakan pengurangan kuasa sebanyak 250 kilowatt mengalami penurunan kuasa tidak disengajakan yang tidak dapat dipulihkan dalam zon berkenaan.
FIA memaklumkan gangguan itu menyebabkan prosedur permulaan ditangguhkan pada 3.45 petang selepas dua pusingan formasi, diikuti proses penyelesaian selama 48 minit oleh pasukan teknikal FIA dan pembekal enjin untuk mengemas kini serta mengintegrasikan konfigurasi yang telah disemak, sebelum perlumbaan disambung dengan selamat dari lorong pit pada 4.33 petang.
Menurut FIA, konfigurasi yang ditetapkan di Sepang akan digunakan semula untuk GP Singapura sekiranya keadaan cuaca yang sama dijangka berlaku.
Kemas kini lanjut bagi perisian cuaca basah juga akan dikeluarkan sebelum GP Amerika Syarikat pada 25 Okt.
Mengakui peluang untuk menjalankan ujian di litar adalah terhad, FIA berjanji akan bekerjasama rapat dengan pasukan, pengeluar unit kuasa dan pembekal Unit Kawalan Elektronik (ECU) piawaian bagi memperkukuh keupayaan ujian perisian serta pengesahan bebas.
Badan induk itu turut memuji semua pasukan, pengeluar dan petugas teknikal atas penyelarasan pantas mereka dalam menyelesaikan isu berkenaan.
-- BERNAMA