MALAYSIA
Inisiatif BUDI95: Pengguna tidak akan beralih daripada pengangkutan awam - Loke

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata pengguna pengangkutan awam akan terus menggunakannya kerana perkhidmatan itu kekal menjimatkan kos dan lebih praktikal berbanding memandu kenderaan persendirian. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Corak perjalanan pengguna pengangkutan awam dijangka tidak berubah meskipun harga petrol diturunkan di bawah subsidi BUDI MADANI RON95 (BUDI95) kerana faktor kemampuan dan keselesaan kekal menjadi keutamaan mereka.
Ringkasan AI
- Menteri Pengangkutan Anthony Loke menjelaskan penurunan harga petrol RON95 melalui BUDI95 tidak akan ubah corak pengguna kerana pengangkutan awam kekal lebih menjimatkan dan praktikal.
- BUDI95 benarkan pemilik kenderaan layak beli sehingga 300 liter petrol RON95 pada harga RM1.99 seliter sebulan mulai 30 Sept.
- Loke juga maklumkan penguatkuasaan penuh pemasangan Peranti Had Kelajuan (SLD) hanya bermula 1 Okt 2025 bagi elak gangguan serius kepada industri.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan sama ada pelaksanaan subsidi petrol, yang menetapkan harga RON95 pada kadar RM1.99 seliter bermula esok, akan mengubah kecenderungan masyarakat dalam menggunakan pengangkutan awam.
Bagaimanapun, Loke berkata pihaknya akan terus memantau data perjalanan sambil mempergiat usaha mempromosikan kelebihan pengangkutan awam dengan menegaskan bahawa harga petrol hanyalah satu daripada pelbagai faktor yang mempengaruhi pilihan pengguna.
Menjawab kebimbangan bahawa penurunan harga petrol mungkin mendorong peningkatan penggunaan kenderaan persendirian, Loke berkata BUDI95 adalah inisiatif bersasar yang dirangka bagi memastikan bantuan disalurkan kepada golongan yang benar-benar layak.
"Terdapat 13 negeri di seluruh negara... jadi selain Lembah Klang, masih banyak kawasan lain yang bergantung kepada kenderaan persendirian khususnya di kawasan separa luar bandar dan separa bandar di mana akses kepada pengangkutan awam masih terhad.
"Oleh itu, meskipun kita menggalakkan penggunaan pengangkutan awam secara lebih meluas, kita perlu sedar bahawa tidak semua kawasan di negara ini yang boleh bergantung sepenuhnya kepada kemudahan tersebut... sebab itulah subsidi ini sangat penting," katanya.
Di bawah skim BUDI95, pemilik kenderaan yang layak boleh membeli sehingga 300 liter petrol RON95 sebulan pada harga subsidi RM1.99 bermula tengah malam ini.
Sementara itu, Loke berkata penggantungan serta-merta atau pembatalan pendaftaran terhadap pengusaha kenderaan komersial yang gagal mematuhi syarat pemasangan Peranti Had Kelajuan (SLD) bukanlah satu langkah yang praktikal.
Beliau berkata tindakan sedemikian akan melibatkan hampir 100,000 kenderaan hanya pada fasa pertama sekali gus berisiko mengganggu rantaian bekalan, operasi logistik serta memberi kesan besar kepada industri secara keseluruhan.
"Lebih 97 peratus kenderaan komersial termasuk bas pelancongan dan ekspres masih belum mengesahkan pemasangan SLD menjelang tarikh akhir pada 1 Okt 2025. Jika tindakan tegas diambil serta-merta, industri pasti akan membantah dan kesannya boleh menjadi amat serius.
"Oleh itu, meskipun kenderaan yang belum memasang SLD masih dibenarkan lulus pemeriksaan buat masa ini, penguatkuasaan sepenuhnya akan bermula pada 1 Okt... kami sudah mengenal pasti jenis kenderaan yang terlibat dalam fasa pertama dan kami akan menghentikan serta menjalankan pemeriksaan ke atasnya," kata beliau.
Loke juga berkata pengusaha yang didapati tidak memiliki pengesahan pemasangan SLD akan diberi notis untuk hadir ke Jabatan Pengangkutan Jalan dalam tempoh 10 hari, lengkap dengan bukti bahawa kenderaan mereka telah dipasang dan disahkan dengan peranti itu.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami