Insiatif kerajaan membenarkan golongan berpendapatan RM4,000 sebulan untuk menyimpan di dalam SSPN-i dan menikmati pemberian geran sepadan dapat meningkatkan tabungan dalam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), kata pengerusinya, Datuk Shamsul Anuar Nasarah.

Shamsul Anuar berkata, peningkatan tabungan itu dapat membantu PTPTN membiayai pelajar di institusi pengajian tinggi.

"Jika sebelum ini, mereka yang berpendapatan tidak melebihi RM2,000 sebulan, yang menyimpan di dalam SSPN-i, telah menikmati pemberian geran sepadan, tetapi kali ini kerajaan mahu menggalakkan lebih ramai pencarum dalam tabung PTPTN ini.

"Kami (PTPTN) berharap inisiatif baru ini dapat meningkatkan tabungan dan seterusnya memberi peluang untuk menyediakan pinjaman kepada lebih ramai pelajar yang melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi," katanya kepada Astro AWANI.

Katanya, masalah yang dihadapi oleh PTPTN ialah apabila tidak dapat membiayai lebih ramai pelajar akibat ada peminjam yang tidak membayar balik pinjaman.

Jelas beliau, seperti yang telah diketahui, lebih 170,000 peminjam tegar PTPTN yang langsung tidak menjelaskan pinjaman berjumlah kira-kira RM1.2 bilion sejak 1998 hingga 2010.

Beliau berharap selain inisiatif geran sepadan, diskaun 20 peratus jika peminjam membayar balik pinjaman mereka sepenuhnya sehingga 31 Mac tahun depan akan dapat juga meningkatkan tabungan PTPTN.

"PTPTN sasarkan dengan inisiatif yang diberi dapat kutipan RM200 juta dalam tempoh tiga bulan jika peminjam dapat membayar semua pinjaman mereka dengan diskaun 20 peratus ini.

"Jika peminjam dapat memahami situasi yang dihadapi oleh PTPTN, mereka akan faham kepentingan untuk membayar balik pinjaman itu kerana dengan duit yang dibayar dapat PTPTN biayai adik-adik mereka menyambung pengajian di universiti," katanya lagi.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mencadangkan supaya had pendapatan isi rumah pencarum di dalam SSPN-i dinaikkan kepada tidak melebihi RM 4,000 sebulan.

Inisiatif ini diberikan bagi menggalakkan lebih ramai ibu bapa menjadi pendeposit untuk menikmati geran sepadan yang diperkenalkan sejak tahun 2005.

Selain itu Perdana Menteri turut mengumumkan diskaun 20 peratus jika peminjam PTPTN membayar balik pinjaman mereka sepenuhnya sehingga 31 Mac tahun depan.

Mereka yang tidak dapat berbuat demikian masih boleh mendapatkan potongan 10 peratus daripada pinjaman mereka jika mereka membuat bayaran berterusan selama 12 bulan sehingga 31 Disember 2015.

"Sejak penubuhan PTPTN pada tahun 1997 sehingga kini, 2.1 juta peminjam telah mengambil pinjaman bernilai RM47.8 bilion.

"Bagaimanapun, setakat 31 Ogos tahun ini, hanya RM5.36 bilion atau 46 peratus daripada RM11.76 bilion telah dikumpul," katanya ketika membentangkan Bajet 2015 di Parlimen semalam.