Skip to main content
Advertisement

Politik

PRN Melaka: 'Dulu warna hijau ini kita alergik' - Ahmad Zahid

Ahmad Zahid berkata, konsep tafahum siyasi turut diterjemahkan menerusi persefahaman pembahagian kerusi, apabila BN bertanding di 21 kerusi Dewan Undangan Negeri, manakala tujuh kerusi lagi diberikan kepada Pas serta rakan sekutunya. - Gambar Astro AWANI
Ahmad Zahid berkata, konsep tafahum siyasi turut diterjemahkan menerusi persefahaman pembahagian kerusi, apabila BN bertanding di 21 kerusi Dewan Undangan Negeri, manakala tujuh kerusi lagi diberikan kepada Pas serta rakan sekutunya. - Gambar Astro AWANI

Advertisement

MASJID TANAH: Barisan Nasional (BN) menyifatkan kerjasama dengan rakan strategik di Melaka sebagai landskap politik baharu yang menuntut semua pihak melupakan perbezaan lalu dan bergerak sebagai satu pasukan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerjasama itu mencerminkan konsep tafahum siyasi atau kesefahaman politik antara BN dan rakan strategiknya, meskipun kedua-dua pihak sebelum ini mempunyai perbezaan politik.

“Sekarang kita ada kawan baharu. Dulu warna hijau ini kita alergik, mereka pun alergik dengan warna biru. Oleh sebab ini rakan kongsi baharu dan rakan strategik kita, ini satu landskap politik baharu di negeri Melaka.

“Kita lupakan permasalahan yang lalu. Kita hadapi 31 Oktober ini (Penamaan Calon) sebagai satu pasukan baharu di negeri Melaka,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran Jentera pilihan Raya BN bagi Parlimen Masjid Tanah, di sini, malam tadi.

Mengulas lanjut, Timbalan Perdana Menteri itu berkata, konsep tafahum siyasi turut diterjemahkan menerusi persefahaman pembahagian kerusi, apabila BN bertanding di 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala tujuh kerusi lagi diberikan kepada Pas serta rakan sekutunya.

Ujarnya, pengagihan seterusnya diserahkan kepada pihak berkenaan untuk dirundingkan bersama, selaras dengan semangat saling menghormati dalam kerjasama politik itu.

Ahmad Zahid menambah, jentera BN perlu memberikan tumpuan kepada usaha mempertahankan kerusi-kerusi di Masjid Tanah serta 21 kerusi DUN yang dimenangi gabungan itu, berbanding membangkitkan soal Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Beliau turut mengingatkan bahawa BN pernah tewas di kerusi Parlimen Masjid Tanah dengan majoriti 4,411 undi pada pilihan raya umum lalu, namun menegaskan fokus ketika ini adalah memastikan kerjasama jentera dapat diterjemahkan dalam PRN Melaka.

“Semoga jentera kita, jentera mereka (rakan strategik) bersama-sama untuk menentukan kemenangan itu,” tambah beliau.

Pada PRN Melaka, BN kekal menjalin kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) selepas mencapai keserasian dalam dua PRN sebelum ini iaitu Johor dan Negeri Sembilan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Hari Pengundian bagi PRN Melaka pada 14 November depan, manakala Penamaan Calon dijadualkan pada 31 Oktober.

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement