MASJID TANAH: Barisan Nasional (BN) mahu mempertahankan lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Parlimen Masjid Tanah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, berbekalkan rekod pembangunan dan pelaksanaan projek yang memberi manfaat kepada rakyat.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, keyakinan itu bersandarkan pelbagai inisiatif pembangunan di kawasan berkenaan, termasuk projek tebatan banjir bernilai kira-kira RM430 juta, pelebaran jalan bernilai RM36 juta serta pembangunan sektor pendidikan dan pelancongan.
Beliau menjelaskan, pembangunan berkenaan membuktikan komitmen kerajaan negeri dalam memastikan keperluan rakyat terus diberi perhatian, sekali gus menjadi asas kepada usaha BN mendapatkan mandat semula pada PRN kali ini.
"Habis kalau kita dah buat semua nikmat ini hasil usaha kita, 'eh kau nak beri orang lain perintah kita (Melaka)'? Gila apa kita nak beri orang lain perintah kita (Melaka).
"Buat kerja untuk kita menang pilihan raya. Pertahankan kelima-lima kerusi dalam Masjid Tanah ini," katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya BN bagi Parlimen Masjid Tanah, di sini, malam tadi.
Lima kerusi di bawah Parlimen Masjid Tanah ialah Kuala Linggi; Tanjung Bidara; Ayer Limau; Lendu; serta Taboh Naning.
Katanya lagi, kerajaan negeri juga akan mewartakan kawasan seluas 2,000 ekar di Lubok China sebagai kawasan perindustrian baharu yang dijangka membuka peluang ekonomi kepada penduduk setempat serta kawasan berhampiran.
Dalam sektor pendidikan dan pembangunan modal insan, beliau berkata kawasan Ayer Limau turut mempunyai institusi pendidikan dan latihan kemahiran, termasuk Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN), Kolej Kemahiran Tinggi MARA serta kolej komuniti.
Selain itu, ujarnya, sektor pelancongan turut diperkukuh menerusi pengenalan produk pelancongan Cruise Sungai Linggi di Paya Lebar, Ayer Limau, bagi menarik lebih ramai pengunjung ke kawasan berkenaan.
Beliau berkata, kerajaan negeri juga sedang meneliti cadangan menjadikan laluan tertentu di Masjid Tanah sebagai jalan sehala, namun pelaksanaannya hanya akan dipertimbangkan selepas mendapatkan pandangan ketua masyarakat dan pihak berkaitan.
“Masjid Tanah semakin berkembang dan jumlah penduduk semakin bertambah. Kita mahu mencari penyelesaian yang terbaik, tetapi pandangan masyarakat perlu diambil kira sebelum sebarang keputusan dibuat,” jelasnya lagi.
Dalam pada itu, Ab Rauf turut menegaskan bahawa pendekatan politik di Melaka tidak berasaskan kebencian, hasutan atau fitnah, sebaliknya menumpukan usaha membangunkan negeri dan menjaga kebajikan rakyat.
"Kita bekerja untuk rakyat, demi rakyat, untuk rakyat! Orang nak marah, orang nak maki kita, makilah. Orang nak carut, kita carutlah. Kau tahu carut kau, aku ini tak tahu lagi? Kau tahu marah kau saja, marah orang ini kau tak tahu lagi?
"Tiba-tiba datang pilihan raya, 'eh cari salah kita'. Yang kita buat dia tak tengok. Cantik muka kau!," kata penyandang kerusi Tanjung Bidara itu.
Menurutnya, PRN kali ini penting bagi memastikan kesinambungan perancangan pembangunan negeri dapat diteruskan.