KUALA LUMPUR: Inisiatif memartabatkan sumbangan golongan belia wanita dalam pembangunan negara akan terus dipertingkat.

Menurut Ketua Pesuruhjaya Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM), Datuk Jeyadhevi Subramaniam, penyertaan belia wanita sebagai pembuat keputusan adalah selari dengan visi baharu Persatuan Pandu Puteri dan Pengakap Puteri Sedunia (WAGGGS).

“Jika dahulu, kepimpinan dalam membuat keputusan selalunya berada di bahu orang lebih senior (matang).

"Namun begitu, aliran kontemporari membawa ke arah memperkasakan golongan muda untuk memimpin.

“Selari dengan visi baharu Persatuan Pandu Puteri dan Pengakap Puteri Sedunia (WAGGGS), wanita juga boleh duduk sama rata dan mampu bergerak maju,” katanya ketika ditemui di Persidangan Meja Bulat Kepimpinan Antara Generasi Asia-Pasifik di Hotel Pearl, di sini, pada Isnin.

Beliau memaklumkan menjelang 2032, WAGGS akan membantu merealisasikan kepentingan belia wanita dalam kelompok pembuat keputusan.

“Mereka juga harus diberi peluang melebarkan sayap dan meneroka di peringkat pembuat keputusan sesebuah organisasi.

“Kami juga akan terus memperkasakan penglibatan komuniti serta membantu golongan ini yakin dengan kebolehan meneraju pembangunan negara,” katanya.

Dalam pada itu, bimbingan dan sokongan wajar ditawarkan daripada mentor terutama bagi mereka di peringkat awal dalam memperkukuhkan pengetahuan dan anjakan cara berfikir.

Persidangan Meja Bulat Kepimpinan Antara Generasi Asia-Pasifik yang berlangsung bermula 11-14 Jun 2023 di Hotel Pearl, Kuala Lumpur disertai 230 ahli Persatuan Pandu Puteri seluruh rantau Asia Pasifik.