Kuala Lumpur: Inisiatif pelaksanaan Pusat Kuarantin dan Rawat COVID-19 Berisiko Rendah Swasta (PKRCS) khas yang bermula pada 26 Julai lalu memberi kelegaan kepada golongan B40 khususnya dalam memantau keadaan pesakit kategori satu dan dua daripada kumpulan tersebut.

Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) dalam kenyataannya berkata, keluarga B40 yang mendiami projek perumahan rakyat (PPR) dan perumahan awam (PA) DBKL tidak sesuai menjalani kuarantin kendiri berikutan keadaan rumah yang sempit dan sesak.

Kenyataan itu berkata, dalam masa sama mereka yang dijangkiti daripada kumpulan ini juga tidak mampu untuk pergi ke PKRCS berbayar.

“Setelah berbincang dengan pelbagai agensi berkaitan, kami memutuskan untuk memindahkan dan menempatkan sebilangan mereka yang positif bagi kategori satu dan dua ke beberapa hotel dikhususkan sebagai PKRCS khas.

“Tindakan ini dapat membantu golongan yang tidak berkemampuan untuk mengelakkan kebolehjangkitan berpunca daripada kontak rapat dalam kalangan ahli keluarga mereka,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Empat buah PKRCS khas yang terlibat adalah Hotel Royal Chulan, Jalan Conlay; International Youth Center, Cheras; Tamu Hotel Kampong Bharu serta Hotel Travelodge City Centre.

Pelaksanaan PKRCS khas tersebut sedikit sebanyak dapat menampung kepada kestabilan hotel.

Rata-rata penduduk di kawasan terlibat memberi respon dan menyambut baik terhadap langkah bijak oleh kementerian dalam menjaga kebajikan Penduduk PPR dan Perumahan Awam DBKL di sekitar Kuala Lumpur.

Ia turut dilihat dapat membantu mengekang penularan yang lebih meluas serta pantas di kawasan PPR dan Perumahan Awam DBKL, melihat kepada saiz kediaman agak sempit selain jumlah ahli keluarga yang ramai dalam sebuah rumah.

Limitasi tempat letak kereta dan kesesakan di kawasan berkenaan turut menjadi cabaran kepada pasukan kesihatan dalam membuat pemantauan terhadap pesakit yang dijangkiti virus COVID-19 ini .

Jika dilihat dari segi kadar kebolehjangkitan dalam ruang yang sempit (kediaman) adalah agak tinggi, ditambah pula kini negara ‘diserang’ dengan varian Delta dengan kadar jangkitan hanya dalam tempoh 15 saat. Tanpa pengudaraan yang baik serta keadaan sempit, penularan sporadik COVID-19 lebih mudah berlaku.

Selain itu, PKRCS khas ini mampu memantau keadaan pesakit B40 dengan lebih dekat dan pemeriksaan kesihatan setiap hari akan dilakukan bagi memastikan rawatan bersesuaian dapat disalurkan kepada mereka.

Kuarantin kendiri amat penting dalam usaha membendung penularan COVID-19 dikalangan ahli keluarga.

Sementara itu, inisiatif serampang dua mata ini dilihat turut memberi manfaat kepada industri perhotelan negara dalam meneruskan kelangsungan operasi dalam tempoh yang mencabar ketika ini.

Pengurus Besar Hotel Royal Chulan, Badrul Rezal Baharudin berkata, usahasama yang diputuskan dalam menyertai pelaksanaan PKRCS khas tersebut sedikit sebanyak dapat menampung kepada kestabilan hotel.

“Langkah yang diambil ini dapat membantu kerajaan dalam membendung penularan pandemik COVID-19 di sekitar kawasan terlibat, yang mana data menunjukkan Kuala Lumpur dan Selangor antara penyumbang kepada jumlah peningkatan kes positif harian.

“Dalam masa sama ia turut memberi situasi menang-menang kepada pihak hotel bagi memastikan kemampanan ekonomi Royal Chulan ketika ini. Seperti mana kita tahu sektor pelancongan masih tidak dapat beroperasi dalam fasa 1 pelan pemulihan negara,” ujarnya.

Beliau ketika dihubungi Astro AWANI pada Khamis turut menyuarakan kerisauan melihat kepada angka 120 buah hotel di seluruh negara terpaksa menghentikan operasi, impak daripada pandemik yang melanda Malaysia ketika ini.

Menerusi PKRCS khas ini, Hotel Royal Chulan memperuntukkan sebanyak 230 buah bilik daripada keseluruhan 402 buah bilik yang ada bagi tujuan kuarantin.

Ditanya berhubung persepsi ‘hotel bekas kuarantin pesakit COVID-19’, Badrul berkata, pihaknya sentiasa menjalankan aktiviti sanitasi berkala setiap kali pesakit daftar keluar supaya memastikan persekitaran yang selamat selain meningkatkan keyakinan tetamu.

“Selain daripada itu, sekiranya selesai program PKRCS khas ini, kami akan melaksanakan sanitasi besar-besaran tidak hanya di kawasan ‘zon merah’ hotel sebaliknya turut di setiap ruang hotel Royal Chulan termasuk ‘zon hijau’.

“Langkah sanitasi menyeluruh ini menunjukkan komitmen bersungguh-sungguh syarikat dalam memastikan persekitaran selamat kepada para tetamu, sekali gus meningkatkan keyakinan mereka untuk menginap di hotel kami,” jelasnya.