SHAH ALAM: Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB), pelaksana inisiatif Gerbang Maritim Selangor (SMG) memenangi anugerah emas untuk Kelestarian dalam Kerajaan pada majlis anugerah alam sekitar berprestij, Green World Awards 2023.

Dalam satu kenyataan hari ini, LLSB berkata ia bersaing dengan lebih 500 pencalonan lain dari seluruh dunia dalam edisi anugerah tahun ini, atas usaha penambahbaikan Sungai Klang untuk menjadikannya berdaya maju bagi peluang ekonomi baharu dan untuk kesejahteraan sosial masyarakat sekitar sungai.

Menurut syarikat itu, hasil daripada kejayaan anugerah tersebut, LLSB telah dipelawa menyertai pergerakan Duta Green World dan kertas kemenangan mereka diterbitkan dalam The Green Book, rujukan antarabangsa terkemuka mengenai amalan terbaik alam sekitar.

Norita Mohd Sidek, Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Selangor (Diperbadankan), syarikat pemegangan LLSB, menerima trofi dan sijil penghargaan anugerah itu bersama-sama Pengarah Perkhidmatan Korporat LLSB Nini Shazrina Ahmad Shamli pada majlis yang berlangsung di Miami, Amerika Syarikat pada 24 April.

Anugerah itu disampaikan oleh pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif The Green Organisation, Roger Wolens.

Ini adalah anugerah antarabangsa kedua yang dimenangi oleh LLSB untuk projek SMG. Syarikat itu sebelum ini memperoleh perak untuk Inisiatif Kelestarian Kerajaan Terbaik di Anugerah Kelestarian Teluk 2022.

-- BERNAMA