Mahkamah Koroner hari ini menolak permohonan pihak Pegawai Pengendali Inkues untuk memanggil semula dua saksi pakar iaitu Pakar Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Ahmad Hafizam Hasmi (Saksi 24) serta Ketua Jabatan Forensik HKL, Datuk Dr Mohd Shah Mahmood (Saksi 27).

Perkara itu diputuskan Koroner Rofiah Mohammad setelah pihaknya menyatakan telah berpuas hati dengan kesemua keterangan saksi.

"Saya berpuas hati dengan segala keterangan saksi dan bagi saya telah mencukupi dan membolehkan saya mencapai keputusan kematian Muhammad Adib justeru permohonan itu ditolak," katanya selepas menilai kedua-dua hujahan pihak Pengendali Inkues dan barisan peguam mewakili Muhammad Adib.

Tambahnya, uji kaji baharu yang dijalankan pada 12 April oleh saksi pakar Dr Ahmad Hafizam Hasmi bukanlah atas permintaan Mahkamah Koroner dan ada kemungkinan saksi ke-29 yang juga merupakan saksi akan mengemukakan uji kaji baharu yang dilihat tiada pengakhirannya.

"Kitaran ini akan berterusan dan inkues tidak sampai ke penamat sedangkan Koroner ada tanggungjawab pastikan inkues tamat dalam tempoh yang munasabah," katanya lagi.

Bagaimanapun, Pihak Pengendali Inkues, Hamdan Hamzah telah memutuskan untuk memfailkan semula semakan berhubung keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Koroner ke Mahkamah Tinggi.

Mahkamah Koroner kemudian menetapkan tarikh 10 Mei sebagai sebutan permohonan semakan semula itu.