MALAYSIA
Inkues: Doktor sahkan Zara Qairina masih hidup pada 16 Julai lalu di hospital

Dr Janefer Voo mengesahkan Zara Qairina masih hidup ketika tiba di Hospital Queen Elizabeth pada 16 Julai, berdasarkan dokumentasi perubatan. -Gambar fail
KOTA KINABALU: Pegawai Perubatan Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Queen Elizabeth (HQE), Dr Janefer Voo mengesahkan Zara Qairina Mahathir masih hidup ketika berada di Hospital Queen Elizabeth (HQE) berdasarkan dokumen pada 16 Julai lalu.
Ringkasan AI
- Dr Janefer Voo mengesahkan Zara Qairina masih hidup ketika tiba di Hospital Queen Elizabeth pada 16 Julai, berdasarkan dokumentasi perubatan.
- Laporan perubatan menunjukkan Zara mengalami kecederaan parah termasuk pendarahan otak, patah tulang belakang, kaki, tangan dan pelvis, serta darah beku dalaman.
- Inkues melibatkan pasukan peguam pelbagai pihak berkepentingan sedang berlangsung, dengan prosiding diteruskan bagi menentukan punca sebenar kematian pelajar tersebut.
"Ya, secara teknikalnya pada waktu itu jam 6.40 pagi saya tidak berada di Jabatan Kecemasan HQE kerana syif saya sudah tamat tetapi berdasarkan dokumentasi, ya dia masih hidup," kata Dr Janefer dalam sesi keterangannya di Mahkamah Koroner, di sini, pada Isnin.
Sebelum itu, Dr Janefer ketika ditanya Timbalan Ketua Pendakwaan II, Datuk Badius Zaman Ahmad yang bertindak sebagai pegawai pengendali memberitahu mahkamah bahawa laporan perubatan itu disediakannya sendiri memandangkan beliau merupakan doktor pertama yang menerima pesakit tersebut.
Dr Janefer dalam pada itu turut menjelaskan mengenai hasil imbasan tomografi berkomputer (CT scan) iaitu bahagian otak menunjukkan pendarahan dan bengkak pada otak serta tiada patah pada tengkorak dan tulang leher.
"CT scan abdomen dan pelvis menunjukkan patah tulang lumbar dua, tiga dan empat serta darah beku pada pelvis dan otot psoas kiri. CT Scan kaki menunjukkan patah dan terkehel pada kedua-dua tulang tibia dan buku lali, dengan kaki kiri lebih teruk termasuk patah tumit," katanya.
Badius seterusnya bertanya apa hasil diagnosis keseluruhan Zara Qairina dan rawatan lain yang mungkin membantu pesakit.
"Pesakit mengalami polytrauma dengan kecederaan otak teruk termasuk pendarahan otak dan bengkak, patah tulang pada tangan kiri, kedua-dua kaki, tumit kiri, tulang belakang lumbar, serta darah beku pada pelvis dan otot psoas kiri.
"Semua rawatan resusitasi yang diperlukan telah diberikan mengikut protokol trauma," jelasnya kepada mahkamah.
Sementara itu, ditanya mengenai maksud 'high impact' dalam kenyataan bertulisnya, Dr Janefer menjelaskan bahawa ia bermaksud mekanisme kecederaan yang melibatkan tenaga kinetik yang kuat atau hentakan yang kuat berserta contoh.
"Contoh kes trauma yang melibatkan 'high impact' ialah kemalangan yang menyebabkan kematian di tempat kejadian, mangsa tercampak jauh, atau jatuh dari tempat tinggi," jelasnya.
Sementara itu, peguam Abdul Fikry Jaafar Abdullah yang mewakili empat remaja lain turut menyoal saksi mengenai kecederaan lain yang dilihat selain dalam kenyataan saksinya itu.
"Saya tidak nampak bengkak pada bahagian leher kerana pesakit dipakaikan pendakap leher," katanya.
Prosiding dihadiri pasukan peguam sebagai pihak berkepentingan dalam kes ini iaitu ibu Zara Qairina, Noraidah Lamat yang diwakili Shahlan Jufri dan Rizwandean M Borhan, selain Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh dan Farrah Nasser.
Turut hadir sebagai pihak berkepentingan ialah peguam mewakili bapa arwah Zara Qairina, Mahathir Hashim @ Marikin, 44, iaitu Sherzali Asli bersama dua rakan guaman, Nurul Rafeeqa Afdul Mutolip dan Clarice Vyonne Conrad.
Ram turut bersama rakan sepasukannya, Joan Goah dan Prem Elmer Ganasan manaklaa Abdul Fikry pula bersama rakan sepasukannya, Azhier Farhan Arisin
Inkues sepanjang bulan ini juga turut dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Dana Arabi Wazani, Mohd Fairuz Johari dan Dena Dacia Jane. -Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami