Skip to main content

Dunia

Konflik Asia Barat: Israel tawan Istana Beaufort, Netanyahu arah operasi diperluas ke Lubnan

Israel's military says it captured Beaufort Castle, a strategic fort in southern Lebanon/ reuters
Tentera Israel menawan Istana Beaufort di selatan Lubnan ketika Perdana Menteri Benjamin Netanyahu mengarahkan pasukan tenteranya memperluas pencerobohan ke dalam wilayah negara jiran itu. - Gambar Reuters

JERUSALEM: Tentera Israel menawan Istana Beaufort di selatan Lubnan ketika Perdana Menteri Benjamin Netanyahu mengarahkan pasukan tenteranya memperluas pencerobohan ke dalam wilayah negara jiran itu.

Penguasaan ke atas istana berusia kira-kira 900 tahun berhampiran bandar Nabatiyeh itu berlaku selepas beberapa hari pertempuran sengit di kawasan berkenaan.

Menurut kenyataan Angkatan Pertahanan Israel (IDF), operasi tersebut memberi tumpuan kepada usaha mengawal Rabung Beaufort serta kawasan Wadi al-Saluki, selain memusnahkan infrastruktur milik Hizbullah yang didakwa beroperasi di kedua-dua lokasi itu.

Istana bersejarah yang dibina pada era Perang Salib itu terletak di kawasan tinggi yang menghadap Sungai Litani dan sekian lama dianggap sebagai lokasi strategik di selatan Lubnan, selain pernah diduduki tentera Israel dalam konflik terdahulu.

IDF memaklumkan, operasi berkenaan dimulakan beberapa hari lalu melibatkan sejumlah besar anggota darat bagi memperluas garis pertahanan hadapan.

Tentera Israel turut mendakwa, kawasan Rabung Beaufort sebelum ini digunakan oleh Hizbullah untuk merancang dan melaksanakan pelbagai serangan terhadap Israel.

Dalam perkembangan berkaitan, serangan udara dan pengeboman dilaporkan berlaku di sekitar kawasan istana, manakala Hezbollah mendakwa berjaya memusnahkan sebuah kereta kebal Israel berhampiran lokasi itu.

Pihak berkuasa tempatan di Arnoun turut mengecam serangan tersebut dan menggesa komuniti antarabangsa melindungi tapak bersejarah berkenaan.

Netanyahu memuji operasi tersebut dan menyifatkan kejayaan itu sebagai satu perubahan besar dalam pendekatan keselamatan Israel.

“Kami kembali ke Beaufort dengan lebih kuat. Pasukan kami berjaya menguasai kubu itu dan mengibarkan bendera Israel di situ,” katanya.

Beliau turut menyifatkan penawanan Beaufort sebagai fasa penting yang menandakan perubahan ketara dalam dasar ketenteraan negara itu.

Istana Beaufort turut diiktiraf sebagai antara kubu zaman pertengahan yang terbaik dipelihara dan pernah diberikan status perlindungan khas bagi mengelakkannya daripada disasarkan dalam operasi ketenteraan.

Tapak itu juga pernah menjadi medan pertempuran sengit pada 1982 sebelum Israel berundur dari selatan Lubnan pada tahun 2000 selepas hampir dua dekad pendudukan.

Walaupun gencatan senjata diumumkan pada April, pertempuran antara Israel dan Hezbollah terus meningkat, dengan tentera Israel memperluas operasi ke kawasan lebih jauh di dalam Lubnan.

Netanyahu menegaskan, tenteranya kini diarahkan untuk memperdalam serta memperluas kawalan ke atas kawasan yang sebelum ini berada di bawah penguasaan Hezbollah.

Dalam operasi berkenaan, tentera Israel turut melancarkan serangan ke atas kemudahan senjata serta pusat kawalan Hezbollah di beberapa lokasi di selatan Lubnan.

Ketegangan yang semakin memuncak ini dilihat berpotensi menjejaskan usaha diplomatik melibatkan Amerika Syarikat dan Iran, yang turut menuntut gencatan senjata di Lubnan sebagai sebahagian daripada rundingan lebih luas. - Agensi

Must Watch Video

Advertisement