Skip to main content

Malaysia

Inkues Zara Qairina: 42 audio jadi bukti, ibu dedah perbualan terakhir sebelum insiden

Ibu Zara Qairina Mahathir mengesahkan 42 audio, kebanyakannya perbualan dengan anaknya, telah dimainkan di Mahkamah Koroner sebagai bukti.
Ibu Zara Qairina Mahathir mengesahkan 42 audio, kebanyakannya perbualan dengan anaknya, telah dimainkan di Mahkamah Koroner sebagai bukti.

Advertisement

Ringkasan AI

  • Ibu Zara Qairina Mahathir mengesahkan 42 audio, kebanyakannya perbualan dengan anaknya, telah dimainkan di Mahkamah Koroner sebagai bukti.
  • Noraidah Lamat memindahkan semua rakaman audio ke komputer riba sebelum telefon bimbitnya diambil polis kerana memori telefon hampir penuh.
  • Panggilan terakhir dengan Zara pada 14 Julai 2025 tidak dirakam kerana fungsi rakaman dimatikan akibat kekangan memori telefon bimbit.

KOTA KINABALU: Ibu Zara Qairina Mahathir mengesahkan sebanyak 42 audio yang dimainkan di Mahkamah Koroner, dengan sebahagian besar daripadanya merupakan perbualannya dengan anaknya.

Noraidah Lamat, 46, yang merupakan saksi ke-82 dalam inkues ini mengesahkan perkara itu selepas peguam Shahlan Jufri meminta audio berkenaan didengar di mahkamah, selain menjelaskan rakaman tersebut dibuat secara automatik menerusi telefon bimbit miliknya.

"Semua audio dirakam secara automatik dalam telefon bimbit saya," katanya.

Menjawab soalan Shahlan mengenai tindakan yang dilakukannya terhadap rakaman berkenaan, Noraidah berkata beliau memindahkan kesemua audio tersebut ke dalam komputer riba sebelum telefon bimbitnya diambil polis.

"Saya mendengar semula untuk mengenal pasti nama-nama yang Zara sebut. Sebelum telefon saya diambil polis, saya telah pindahkan semua rakaman ke dalam laptop (komputer riba) saya," katanya.

Bagaimanapun, Noraidah menjelaskan bahawa panggilan terakhirnya dengan Zara Qairina berlaku pada malam 14 Julai 2025, dengan menggunakan telefon milik rakan anaknya.

"Panggilan terakhir adalah pada 14 Julai (Isnin malam) menggunakan telefon kawan Zara," katanya.

Menurut Noraidah, pada panggilan kira-kira tiga minit itu, Zara Qairina memaklumkan makanan yang disimpannya di asrama telah dikacau monyet sebelum memberitahu seorang pelajar senior mahu bertemu dengannya.

Ditanya lanjut, mengapa rakaman pada tarikh tersebut tidak ada dalam simpanannya, Noraidah menjelaskan bahawa panggilan berkenaan tidak dirakam secara automatik.

Noraidah memaklumkan bahawa dia telah mematikan fungsi rakaman bagi panggilan tersebut susulan kapasiti memori telefon bimbitnya yang hampir penuh.

"Sebenarnya, telefon saya sudah berusia enam tahun. Memorinya sudah hampir penuh, hanya tinggal baki 10GB sahaja lagi.

"Jadi untuk mengelak telefon bimbit saya 'jam' (sangkut) kerana banyak gambar dan maklumat di dalamnya, mana-mana panggilan yang saya teringat, saya akan matikan. Mana-mana yang saya tidak teringat, akan automatik terakam," katanya.

Ketika ditanya bagaimana beliau mengetahui Zara ketika itu bersama rakannya, Noraidah berkata perkara itu diketahuinya selepas bertanya kepada anaknya ketika panggilan berkenaan berlangsung.

"Sebab pada waktu itu saya ada bertanya. Macam biasa saya akan tanya, 'Ra, siapa kawan kau?" katanya.

Noraidah turut memberitahu mahkamah bahawa Zara Qairina tidak kedengaran sedih ketika menceritakan mengenai makanan yang dikacau monyet dan pelajar senior berkenaan, sebaliknya kedengaran teruja apabila mengetahui pelajar senior mahu menemuinya. -Sinar Harian

Fakta Segera: Jawapan Pantas Dari AI

  • Q: Berapa jumlah audio yang dimainkan di Mahkamah Koroner berkaitan kes Zara Qairina? 
    A: Sebanyak 42 audio telah dimainkan di Mahkamah Koroner berkaitan kes Zara Qairina.
  • Q: Bagaimana rakaman audio perbualan antara Noraidah dan Zara Qairina dibuat? 
    A: Rakaman audio dibuat secara automatik melalui telefon bimbit milik Noraidah Lamat.
  • Q: Mengapa rakaman panggilan terakhir dengan Zara Qairina tidak ada dalam simpanan Noraidah? 
    A: Rakaman panggilan terakhir tidak ada kerana fungsi rakaman dimatikan akibat kapasiti memori telefon bimbit yang hampir penuh.
  • Q: Apakah yang diberitahu Zara Qairina kepada ibunya dalam panggilan terakhir? 
    A: Zara Qairina memaklumkan bahawa makanan di asramanya telah dikacau monyet dan seorang pelajar senior mahu bertemu dengannya.
  • Q: Bagaimana reaksi Zara Qairina ketika menceritakan insiden kepada ibunya? 
    A: Zara Qairina tidak kedengaran sedih, sebaliknya teruja apabila mengetahui pelajar senior mahu menemuinya.

Must Watch Video

Advertisement