MALAYSIA
Inkues Zara Qairina: AGC teliti surat jawapan Shafie Apdal

Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Fairuz Johari berkata, pihaknya telah menerima surat tersebut dan kini menunggu arahan lanjut daripada AGC. - Gambar fail
KOTA KINABALU: Jabatan Peguam Negara (AGC) sedang meneliti jawapan yang dikemukakan Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berhubung surat tunjuk sebab menghina mahkamah berkaitan kes kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir.
Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Fairuz Johari berkata, pihaknya telah menerima surat tersebut dan kini menunggu arahan lanjut daripada AGC.
“Kami telah menerima surat jawapan daripada Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, dan perkara itu masih dalam pertimbangan AGC. Kami juga sedang menunggu arahan selanjutnya daripada pihak AGC,” katanya selepas prosiding inkues berlangsung di mahkamah hari ini.
Pada 29 September lalu, Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, mengesahkan beliau telah menerima jawapan bertulis daripada Mohd Shafie berhubung notis tunjuk sebab yang dikeluarkan terhadapnya, berkaitan kenyataannya mengenai inkues kes itu.Notis itu berkaitan kenyataan Mohd Shafie semasa acara ‘Jelajah Inspirasi DSSA P187 Kinabatangan’ pada 20 September, di mana beliau didakwa mempersoalkan tempoh inkues yang panjang.
AGC dalam kenyataan memaklumkan bahawa setiap kenyataan Mohd Shafie berhubung kes Zara Qairina sedang dikaji dengan terperinci.
AGC turut menegaskan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas mengikut lunas undang-undang, termasuk memulakan prosiding penghinaan mahkamah setelah penelitian itu selesai.
Sebelum ini, rakaman video pada satu majlis makan malam yang tular memaparkan Mohd Shafie mempersoalkan tempoh panjang prosiding inkues bagi menentukan punca kematian pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha di Papar itu.
Zara Qairina, 13, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu pada 17 Julai lepas setelah ditemukan tidak sedarkan diri di longkang berhampiran asrama sekolahnya di Papar pada jam 4 pagi 16 Julai.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami