MALAYSIA
Inkues Zara Qairina: Arwah lebih suka tidur di lantai berbanding katilnya - Saksi

Prosiding inkues hari ini mendengar keterangan daripada saksi pelajar yang kelapan. - Gambar fail/Bernama
KOTA KINABALU: Mahkamah Koroner hari ini diberitahu Zara Qairina Mahathir lebih gemar tidur beralaskan karpet di lantai berbanding menggunakan katilnya di asrama.
Peguam Joan Goh yang mewakili Pelajar A, seorang daripada lima pelajar yang dituduh berkata, saksi pelajar yang kelapan, merupakan pelajar ke-16 berkata, Zara Qairina yang ditempatkan di katil tingkat atas lebih memilih untuk berbaring di lantai.
“Dia tidak gemar menggunakan selimut dan lebih selesa tidur di atas karpet.
"Di dalam dorm, cadar pula perlu sentiasa dikemaskan dan kelihatan rapi,” katanya ketika sidang media di luar perkarangan mahkamah. Saksi itu turut mengingatkan, pada malam 15 Julai, Zara Qairina pulang ke bilik dalam keadaan menangis sebelum terus berbaring di atas karpet untuk tidur.
Ia merupakan kali pertama dan satu-satunya dia melihat Zara Qairina menangis.
Zara Qairina dipanggil ke sebuah bilik asrama pelajar senior pada jam 10.20 malam, 15 Julai yang dikaitkan kes kecurian melibatkan kehilangan dompet dua pelajar.
Zara Qairina ditemui tidak sedarkan diri di tingkat bawah asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha pada 16 Julai lalu, sebelum disahkan meninggal dunia keesokan harinya di Hospital Queen Elizabeth.
Laporan awal menyebut mangsa dipercayai terjatuh dari tingkat tiga asrama sekolah.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami