Inkues Zara Qairina: "Guru tertekan, takut keluar susulan kecaman netizen" - Saksi

Zara Qairina disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth di sini pada 17 Julai selepas ditemukan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya. - Gambar fail
KOTA KINABALU: Bekas Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (PK HEM) Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha hari ini memberitahu Mahkamah Koroner di sini bahawa guru-guru sekolah berkenaan tertekan dan takut untuk keluar ke mana-mana susulan 'serangan' netizen di media sosial berhubung kes kematian Zara Qairina Mahathir.
Ringkasan AI
- Guru-guru di SMKA Tun Datu Mustapha mengalami tekanan dan ketakutan akibat serangan netizen di media sosial berhubung kes kematian Zara Qairina Mahathir.
- Beberapa guru telah memadamkan akaun Facebook dan merasa takut untuk keluar ke tempat awam seperti pusat beli-belah, kedai, dan pasar akibat kecaman yang tidak berasas dan fitnah dari netizen.
- Asni Marjan, bekas PK HEM di sekolah tersebut, menyatakan bahawa netizen membuat tuduhan liar terhadap guru-guru, menyebabkan emosi terganggu dan tekanan yang menyebabkan mereka tertekan.
Asni yang sejak Oktober lepas ditempatkan di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Papar berkata netizen membuat tuduhan tidak berasas, liar dan berunsur fitnah terhadap guru-guru sekolah berkenaan.
Saksi ke-57 itu yang akan bersara pada Januari tahun hadapan itu berkata demikian ketika disoal peguam Shahlan Jufry yang mewakili ibu Zara Qairina, di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.
Shahlan: Tuduhan-tuduhan itu telah menyebabkan emosi cikgu dan guru-guru lain tergganggu, selain membuat mereka berasa tertekan sehingga tidak mahu pergi ke pusat beli-belah atau ke kedai?
Asni: Betul
Shahan: Saya juga difahamkan bahawa ada pelajar yang tertekan kerana dilabelkan oleh netizen sebagai pembuli, malah ada individu yang menjerit 'pembuli' di luar kawasan sekolah. Betul, cikgu?
Asni: Betul
Shahlan: Cikgu, apa yang berlaku kepada Zara Qairina pada malam itu, adalah sama dengan apa yang cikgu dan rakan-rakan cikgu berhadapan, yang berbeza ialah netizen tidak berhadapan dengan pihak sekolah, tetapi Zara Qairina berhadapan dengan pelajar-pelajar senior pada malam tersebut. Lebih kurang sama kan, cikgu?
Asni: Saya tak pasti
Zara Qairina disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth di sini pada 17 Julai selepas ditemukan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya pada 4 pagi 16 Julai.
Prosiding inkues bersambung.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


