Skip to main content

Dunia

Gempa bumi Filipina: Angka korban meningkat kepada 15

A road is blocked near the collapsed building after a magnitude 7.8 quake in General Santos, Philippines, June 8, 2026. Picture taken with a mobile phone. REUTERS/Edwin Espejo
Pihak berkuasa Filipina kini menilai tahap kerosakan keseluruhan sambil menyediakan bantuan kecemasan kepada mangsa yang terjejas di kawasan terlibat. - Gambar/ Reuters

MANILA: Gempa bumi kuat berukuran 7.8 magnitud yang melanda selatan Filipina pada Isnin mengorbankan sekurang-kurangnya 15 orang, manakala lebih 100 lagi cedera, menurut agensi pengurusan bencana negara itu.

Gempa berkenaan berlaku di luar pesisir Pulau Mindanao, berhampiran General Santos, dan menyebabkan beberapa bangunan runtuh selain mencetuskan amaran tsunami di beberapa kawasan sekitar rantau itu.

Pihak berkuasa Filipina menggesa penduduk di kawasan pantai yang terjejas supaya segera berpindah ke kawasan lebih tinggi sebagai langkah berjaga-jaga susulan gegaran kuat itu.

Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) memaklumkan beberapa gegaran susulan kuat turut direkodkan kira-kira dua jam selepas gempa utama berlaku, dengan gegaran paling kuat berukuran 6.5 magnitud.

Media tempatan melaporkan operasi mencari dan menyelamat sedang giat dijalankan di beberapa kawasan yang mengalami kerosakan teruk, termasuk runtuhan bangunan kediaman dan premis komersial.

Beberapa jalan utama dan kemudahan awam turut dilaporkan mengalami kerosakan akibat gegaran berkenaan, sekali gus menjejaskan pergerakan penduduk dan pasukan penyelamat.

Pusat amaran tsunami serantau sebelum ini turut mengeluarkan amaran kemungkinan ombak besar susulan gempa bawah laut itu, namun setakat ini tiada laporan rasmi mengenai tsunami besar melanda kawasan pantai.

Pihak berkuasa Filipina kini menilai tahap kerosakan keseluruhan sambil menyediakan bantuan kecemasan kepada mangsa yang terjejas di kawasan terlibat.

 

Must Watch Video

Advertisement