MALAYSIA
Inkues Zara Qairina: Ketua warden persoal sikap ibu arwah tidak lapor insiden buli

Ketua Warden SMKA Tun Datu Mustapha persoal tindakan ibu Zara Qairina yang didakwa tidak membuat laporan walaupun anaknya pernah mengadu masalah di asrama. -Gambar fail
KOTA KINABALU: Ketua Warden Asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Azhari Abd Sagap, mempersoalkan tindakan ibu Allahyarham Zara Qairina Mahathir, Noraidah Lamat, yang didakwa berdiam diri walaupun anaknya pernah mengadu mengenai masalah dihadapinya di asrama.
Ringkasan AI
- Ketua Warden SMKA Tun Datu Mustapha persoal tindakan ibu Zara Qairina yang didakwa tidak membuat laporan walaupun anaknya pernah mengadu masalah di asrama.
- Azhari Abd Sagap dedah isu buli hanya diketahui selepas hantaran TikTok ibu mangsa, dan tiada aduan rasmi diterima sebelum itu.
- Azhari turut berkongsi kenangan peribadi bersama Zara dalam kelas Bahasa Arab, menyatakan rasa sebak dan keinginan untuk mencari keadilan.
"Kalau tiada aduan daripada Zara sendiri, sepatutnya ada daripada ibunya. Tetapi langsung tiada,” katanya dengan nada kecewa.
Menjawab soalan peguam Abdul Fikry Jaafar, yang mewakili empat pelajar terbabit dalam kes itu, Azhari berkata ibu mangsa juga tidak pernah memaklumkan sebarang insiden buli kepadanya, termasuk ketika mereka bertemu di unit kecemasan hospital.
“Ya, memang tidak ada. Malah kami hanya tahu mengenai isu buli selepas ibu mangsa membuat hantaran di TikTok,” katanya.
Azhari yang kelihatan sebak turut mengimbas kenangannya bersama Zara Qairina sebagai pelajarnya di kelas Bahasa Arab.
“Saya pernah berpesan dalam kelas, kalau kamu semua tidak mahu menutup aurat dengan baik atau tidak mahu memakai handsock, kamu humban saja bapa kamu dengan batu.
"Selepas itu, Zara mula memakai handsock… saya masih ingat lagi handsock putih yang dipakainya. Saya tidak tahu apa sebenarnya yang dilaluinya. Saya juga mahu mencari keadilan,” katanya.
Zara Qairina, pelajar Tingkatan Satu Fatimah, tinggal di Asrama Qurratu Ayun tingkat tiga Blok Rabiatul Adawiyah bersama 11 pelajar lain di bawah seliaan Azhari.
Allahyarham meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai, sehari selepas ditemukan tidak sedarkan diri di tepi longkang berhampiran asrama sekolahnya di Papar sekitar jam 4 pagi.
Pada 13 Ogos lalu, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengarahkan inkues dijalankan selepas meneliti laporan siasatan polis, manakala pada 8 Ogos, AGC turut mengeluarkan arahan untuk menggali semula kubur Allahyarham bagi membolehkan bedah siasat dilakukan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami