MALAYSIA
Inkues Zara Qairina: Telefon awam asrama ditutup dua hari

Pengawal keselamatan sekolah memberitahu mahkamah, bahawa pelajar terpaksa menggunakan telefon bimbit pengawal jika kehabisan baki kad telefon awam. - Gambar hiasan
KOTA KINABALU: Mahkamah Koroner hari ini diberitahu bahawa telefon awam di dua blok asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha, Papar, telah ditutup selama dua hari bermula 16 Julai lepas, iaitu selepas insiden membabitkan Allahyarham Zara Qairina Mahathir.
Ringkasan AI
- Mahkamah Koroner dimaklumkan bahawa telefon awam di dua blok asrama SMKA Tun Datu Mustapha, Papar ditutup selama dua hari selepas insiden melibatkan Zara Qairina Mahathir, atas arahan ketua warden bagi menghalang pelajar menghubungi ibu bapa.
- Pengawal keselamatan sekolah mendedahkan pelajar terpaksa menggunakan telefon bimbit pengawal jika baki kad telefon awam tiada, dan beliau sendiri menemukan Zara dalam keadaan tidak sedarkan diri berhampiran longkang pada awal pagi 16 Julai.
- Koroner bersama pasukan berkaitan akan melawat lokasi kejadian di sekolah tersebut, dengan prosiding inkues bersambung selepas lawatan; Zara meninggal dunia pada 17 Julai dan inkues dijalankan atas arahan Jabatan Peguam Negara.
Linah: Mereka guna telefon awam...ada juga yang pinjam telefon saya".
Shahlan: Mereka guna duit syiling?
Linah: "Tidak...mereka guna kad. Kalau baki dalam kad tiada, mereka terpaksa guna telefon bimbit pengawal (saya dan seorang lagi)."
Shahlan: Dalam tempoh dua hari selepas 16 Julai, adakah pelajar-pelajar sekolah itu dapat menghubungi ibu bapa mereka?
Linah: "Telefon awam ditutup selama dua hari, dua malam... sebab takut budak-budak telefon ibu bapa."
Shahlan: Macam mana telefon awam boleh ditutup?
Linah: "Suis ditutup."
Shahlan: Siapa yang tutup?
Linah: "Ketua warden suruh tutup."
Terdahulu, saksi memberitahu bahawa beliau menemukan Zara Qairina dalam keadaan terlentang berhampiran longkang, tidak sedarkan diri dengan kesan darah pada tengkuk, kira-kira 3 pagi pada 16 Julai lepas.
Pada akhir prosiding hari ini, Koroner Amir Shah Amir Hassan memaklumkan bahawa beliau bersama pasukan pendakwa raya, peguam dan pakar patologi Dr Jessie Hiu akan melawat lokasi kejadian di sekolah berkenaan pada 9.30 pagi esok.
Bagaimanapun, katanya pengamal media tidak dibenarkan memasuki kawasan sekolah semasa lawatan. Prosiding akan bersambung semula di mahkamah selepas lawatan tersebut.
Zara Qairina, 13, meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai.
Dia dimasukkan ke hospital berkenaan sehari sebelum setelah ditemukan tidak sedarkan diri berhampiran longkang berhampiran asrama sekolahnya di Papar pada 4 pagi.
Pada 13 Ogos, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengarahkan inkues dijalankan selepas meneliti laporan siasatan yang dikemukakan pihak polis, manakala sebelum itu pada 8 Ogos AGC mengeluarkan perintah untuk menggali semula kubur Zara Qairina bagi membolehkan bedah siasat dilakukan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami