PUTRAJAYA: My Digital ID Sdn Bhd menafikan dakwaan bahawa platform identiti digital nasional Malaysia beroperasi menggunakan teknologi blok rantai atau blockchain pihak ketiga.
Dalam kenyataan hari ini, syarikat itu menegaskan, platform identiti digitalnya tidak dikuasakan oleh mana-mana teknologi blok rantai pihak ketiga, bertentangan daripada apa dilaporkan baru-baru ini.
“My Digital ID Sdn Bhd ialah syarikat milik Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc) dan ditempatkan di bawah Jabatan Perdana Menteri dengan pengawasan Majlis Keselamatan Negara serta pemantauan Agensi Keselamatan Siber Negara,” menurut kenyataan itu.
Syarikat itu memaklumkan, MyDigital ID telah mendaftarkan 83 peratus daripada populasi aktif secara digital di Malaysia, menghubungkan lebih 14 juta rakyat negara ini kepada lebih 1,000 perkhidmatan merentas 204 aplikasi.
MyDigital ID ialah platform identiti digital selamat dan dipercayai yang direka untuk memperkukuh dan mempermudah pengesahan identiti dalam talian tanpa menggantikan sistem MyKad.
Ia berfungsi sebagai penyelesaian log masuk tunggal bagi perkhidmatan digital yang menawarkan keselamatan dan kebolehcapaian lebih baik untuk rakyat Malaysia mengakses perkhidmatan dalam talian serta menjalankan transaksi.
MyDigital ID tidak menyimpan sebarang data peribadi dan tidak menggantikan MyKad bagi tujuan pengenalan diri.
MyDigital ID boleh dimuat turun daripada kedai aplikasi utama, iaitu Google Play Store, Apple App Store dan Huawei AppGallery.
-- BERNAMA