Inovasi pemangkin pentadbiran, kesejahteraan rakyat - Amirudin

Amirudin berkata, pembudayaan inovasi bukan lagi pilihan, sebaliknya keperluan utama dalam memastikan sistem pentadbiran kerajaan kekal berdaya tahan. - Gambar fail/Bernama
SHAH ALAM: Pentadbiran awam di Selangor disaran menjadikan inovasi sebagai budaya kerja dan cara berfikir bagi memastikan kesejahteraan rakyat serta kemajuan negeri terus berkembang secara mampan.
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata pembudayaan inovasi bukan lagi pilihan, sebaliknya keperluan utama dalam memastikan sistem pentadbiran kerajaan kekal berdaya tahan serta mampu menyesuaikan diri dengan perubahan zaman dan teknologi.
"Inovasi tidak semestinya bermula dengan alat atau teknologi baharu. Ia terbukti apabila boleh dimulakan dengan usaha meningkatkan kehidupan rakyat melalui idea pintar, kreatif dan mampu menyelesaikan masalah di tempat kerja serta membantu masyarakat.
"Pendekatan berasaskan inovasi juga membolehkan setiap jabatan dan agensi kerajaan negeri menambah baik sistem penyampaian perkhidmatan awam agar lebih efisien, pantas dan relevan sejajar keperluan semasa," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi Inovasi Negeri Selangor 2025 di sini hari ini yang turut dihadiri Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi negeri Dr Mohammad Fahmi Ngah dan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Datuk Dr Ahmad Fadzli Ahmad.
Amirudin berkata inovasi bukan sahaja berperanan menyelesaikan isu setempat atau dalaman jabatan, malah berpotensi menjana ekonomi dan memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat.
Beliau juga mahu budaya inovasi diterjemahkan dalam pelbagai bentuk termasuk dasar, enakmen, pekeliling dan juga amalan komunikasi harian dalam pentadbiran kerajaan negeri.
Dalam perkembangan sama, Amirudin berkata kerajaan negeri komited meneruskan pelan transformasi dan reformasi perkhidmatan awam, termasuk melalui pelan fiskal dan belanjawan negeri yang akan dibentangkan tidak lama lagi.
"Inovasi akan menjadi tunjang utama dalam pelaksanaan dasar serta pembangunan negeri supaya Selangor terus kekal sebagai negeri paling dinamik, makmur dan berdaya saing.
"Dalam dunia yang semakin bergantung kepada teknologi, kita tidak boleh menolak perubahan, sebaliknya arus memanfaatkannya untuk kesejahteraan dan kemakmuran rakyat," katanya.
Terdahulu, Amirudin turut menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (SUK) dan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) serta pertukaran ?surat persefahaman antara Pejabat SUK dan Selgem Sdn Bhd.
Pertukaran dokumen itu adalah tanda kerjasama bagi meneroka peluang perubahan inovasi melalui perlindungan harta intelek ke atas penciptaan inovasi dan penerokaan pengkomersialan produk inovasi sedia ada yang dihasilkan oleh kumpulan Inovasi dan Kreatif (KIK) di bawah pentadbirannya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


